[VIDEO] 'Kenapa ulang semula?' coach Melaka Titans hairan dilayang kad merah lepas 'challenge' tiba-tiba ditarik


  • Podium
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Khairul Anuar dilayangkan kad merah dalam set pertama pertemuan epik antara Melaka Titans dan NS Antlers. — Facebook/STL

LIGA Sepak Takraw (STL) 2025 kian mendebar dengan semua pasukan ketika ini mahu memungut mata maksimum dalam Grand Prix (GP) Johor yang merupakan GP keempat bagi edisi kali ini.

Antara aksi yang paling menjadi tumpuan dalam GP itu sudah tentu melibatkan Melaka Titans dan Negeri Sembilan (NS) Antlers yang berlangsung di Studio Iskandar Malaysia, Johor pada Khamis.

Ini kerana kedua-dua pasukan yang berada dalam kelompok tiga teratas keseluruhan itu diletakkan bersama-sama dalam Kumpulan B di samping Terengganu Turtles.

BACA LAGI: Melaka Titans bolot GP Terengganu, harapnya trio kebangsaan dipisahkan demi ‘hype’ STL

BACA LAGI: Azlan Alias retak tulang siku, Melaka Titans jumpa perejam dari Thailand sebagai pengganti

Jadi, tidak hairanlah apabila pertembungan mereka mencuri tumpuan peminat sukan sepak takraw negara yang mahu melihat pasukan manakah mampu melakar kejayaan.

Tetapi, lain pula kisahnya dalam aksi terbabit selepas jurulatih Melaka Titans, Khairul Anuar Ibrahim diarah meninggalkan tepi gelanggang setelah dilayangkan kad merah.

Insiden tercetus pada set pertama permainan ketika NS Antlers berada dua mata di hadapan dengan kekalutan menyaksikan barisan kejurulatihan Melaka Titans menghampiri pengadil.

Tidak lama selepas kekecohan berlaku, Khairul Anuar yang mempersoalkan keputusan kemudiannya dilayangkan kad merah yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemain dan penyokong di venue perlawanan.

Pengendali Melaka Titans kemudian menjelaskan situasi sebenar di sebalik ketegangan tersebut yang difahamkan berpunca daripada tindakannya mempersoalkan keputusan pengadil.

"Kita challenge (keputusan) pengadil membatalkan situasi Zaim Razali ambil bola dan kemudian kita challenge. Apabila berbuat demikian, kita berjaya dan juri mengatakan tidak batal, tetapi pengadil kata ulang semula.

"Apabila diarahkan mengulangi semula itu, saya rasa aneh. Jika diikutkan kejadian sebelum ini, memang itulah pendiriannya. Selepas kita tanya semula mengenainya, jawapan diberikan adalah kerana dia berhak," katanya.

Ketua jurulatih Melaka Titans itu turut mempersoalkan undang-undang pengadilan STL yang sepatutnya selaras dan selari bagi mengelak isu sedemikian berulang.

Melaka Titans berada di kedudukan tercorot Kumpulan B selepas kekalahan tersebut. Facebook/STL

"Ada pengadil yang gayanya begini, ada pengadil lain pula caranya. Saya tiada masalah dengan kad itu, cuma kalau boleh, undang-undang itu biarlah selaras.

"Ini kerana ia boleh mengganggu kelancaran perlawanan kerana aksi Melaka Titans dan NS Antlers mahu ditonton orang ramai yang mahu menyaksikan persembahan terbaik," katanya lagi.

Ketiadaan Khairul Anuar di tepi gelanggang menyaksikan pasukan kendaliannya tumpas 0-2 menerusi keputusan 9-15, 7-15 yang meletakkan mereka di kedudukan tercorot Kumpulan B.

Melaka Titans perlu bangkit dalam perlawanan akan datang, iaitu menentang Terengganu Turtles pada Jumaat untuk berada di kelompok dua teratas bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram