[VIDEO] Dari Selatan ke Utara, tekong berbisa negara hargai keberanian, kepercayaan Perak Bison


  • Podium
  • Rabu, 13 Nov 2024

Tekong Johor Tigris kini menyertai Perak Bison sebagai pemain pinjaman bagi menghadapi saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw Champions Cup 2024.

SAINGAN Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) Champions Cup 2024 akan membuka tirainya di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor bermula pukul 3 petang Rabu.

Naib juara STL musim ini, Perak Bison yang akan memulakan saingan dengan bertemu STFI-India Fighters dalam Kumpulan B dilihat sudah cukup bersedia.

Menariknya senarai pemain kali ini, Perak Bison membuat sedikit kelainan dengan membawa masuk tekong Johor Tigris, Hairul Hazizi Haidzir secara pinjaman untuk membantu pasukan tersebut.

BACA LAGI: Mungkin ucap selamat tinggal, tonggak Sang Badak tinggal selangkah ke Selangor FC

BACA LAGI: Reunion Amri-Sabah, aksi sengit Pahang-Selangor jadi tumpuan undian Piala Malaysia

Begitu pun, Perak Bison turut mengekalkan beberapa pemain seperti apit kanan negara, Noraizat Nordin, apit kiri, Aidil Aiman Azwawi serta dua pemain import, Kritsada Sunvung dan Treepong Rawangpai.

Terharu dengan peluang tersebut, Hairul Hazizi yang juga merupakan bekas tekong negara itu berkata, dia amat bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk membantu Perak Bison.

"Pertama sekali, Alhamdulillah kerana diberi peluang untuk bersama pasukan Perak Bison. Terima kasih kepada pengurusan pasukan Perak Bison yang telah mempercayai saya untuk menyarung jersi Perak Bison dalam saingan kali ini.

"Sejujurnya, saya tidak sangka dapat berpeluang untuk mewakili salah satu pasukan terbaik dalam STL, iaitu Perak Bison. Saya amat bersyukur dengan kepercayaan dan keberanian pengurusan yang telah memilih saya untuk bersama pasukan ini," katanya di Facebook.

Meskipun baru menyertai Perak Bison, Hairul Hazizi turut berkongsikan bahawa dia kini sudah cukup bersedia menghadapi STL Champions Cup tersebut selain serasi dengan semua pemain pasukan tersebut.

"Dari segi fizikal dan mental, Alhamdulillah saya rasa cukup bersedia. Apabila saya menyertai Perak Bison, saya merasakan pasukan ini seperti sebuah keluarga.

"Saya mudah bergaul dengan semua pemain, termasuk pemain import, serta rakan-rakan sepasukan seperti Aizat Nordin dan Aidil Aiman. Semua ini memudahkan saya untuk cepat menyesuaikan diri dengan suasana pasukan," katanya.

Di samping itu, Hairul Hazizi turut berharap agar dia melakukan yang terbaik dan bertekad untuk terus memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan.

"Untuk harapan saya secara peribadi, saya sentiasa mencabar diri saya untuk melakukan yang terbaik. Kali ini, saya bertekad untuk terus mencabar diri saya dan memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan. Saya ingin menjadi salah satu punca utama kejayaan Perak Bison, Insya-ALLAH," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram