[VIDEO] Brighton tarik tali, Man United dah ada 2 pengganti jika tak dapat Baleba


  • Podium
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Baleba mempamerkan aksi mengagumkan bersama Seagulls musim lalu, dengan membuat 34 penampilan dalam EPL serta menjaringkan tiga gol di bawah kendalian Fabian Hurzeler. — Agensi

RUNDINGAN Manchester United untuk membawa masuk bintang muda Brighton, Carlos Baleba berdepan jalan sukar apabila kelab itu dikatakan enggan melepaskannya dengan harga kurang daripada £112 juta (RM683 juta).

Brighton yang terkenal dengan reputasi 'keras kepala' dalam rundingan dilaporkan mahu memerah habis nilai pemain tengah berusia 20 tahun itu.

Tindakan Brighton itu sekali gus memaksa United menimbang pilihan lain menjelang penutupan jendela perpindahan musim panas ini.

BACA LAGI: Karier dianggap sudah lama berakhir di Afrika, bintang import Penang sebenarnya mahu jadi ‘pintu masuk’ awang import ke Liga Super

BACA LAGI: Suram semusim, 3 bintang Liga Super dijangka lebih bersinar 2025/26

 

 

 

 

 

 

Menurut laporan Independent dan Skysports, Red Devils kini menyenaraikan pemain Crystal Palace, Adam Wharton dan kapten Sporting, Morten Hjulmand sebagai alternatif utama sekiranya usaha mendapatkan Baleba menemui kegagalan.

Wharton, 20, yang tampil cemerlang di Selhurst Park musim lalu turut menarik perhatian kelab-kelab gergasi lain.

Wharton tampil cemerlang di Selhurst Park musim lalu. — Agensi

Namun, Palace dilaporkan hanya bersedia berunding jika menerima tawaran melebihi £100 juta (RM610 juta).

Walaupun Wharton hanya dianggap Pelan B, sumber dalam kelab mendedahkan pemilik minoriti, Ineos, menyimpan hasrat jangka panjang untuk menghimpunkan Baleba dan Wharton dalam satu pasukan.

Jika kedua-duanya digandingkan bersama bakat muda sensasi Kobbie Mainoo, United dijangka memiliki barisan tengah yang berpotensi menjadi antara terbaik dunia untuk dekad akan datang.

Kapten Sporting, Morten Hjulmand

Bagaimanapun, merealisasikan impian itu bukan murah dan dianggarkan memerlukan perbelanjaan mencecah £215 juta (RM1.31 bilion) hanya untuk dua pemain tengah tersebut.

Musim panas ini menyaksikan United sudah berbelanja besar dengan membawa masuk Bryan Mbeumo, Matheus Cunha dan penyerang sensasi Slovenia, Benjamin Sesko bernilai £66 juta (RM402.6 juta).

Walaupun peluang mendapatkan Baleba dan Wharton sekaligus agak tipis, penyokong mula percaya apa sahaja mampu berlaku selepas kejutan perpindahan besar-besaran musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram