
KARIER pertahanan tengah Malawi, Limbikani Mzava, pernah dianggap ‘tamat’ di pentas bola sepak Afrika Selatan, namun bintang import baharu Penang FC itu tekad menjadikan Liga Super Malaysia sebagai pembuka jalan untuk lebih ramai pemain dari negaranya.
Bekas tonggak Magesi FC itu mendedahkan, penyingkirannya daripada juara bertahan Carling Black Label Cup pada Januari lalu mencetus persepsi bahawa dia sudah tidak lagi relevan di saingan Liga Perdana Afrika Selatan (PSL).
“Saya bermain enam bulan bersama Magesi, tetapi selepas dilepaskan, ada yang anggap saya sudah habis. Saya ada peluang sertai sebuah kelab PSL di Venda, tetapi tawarannya terlalu rendah.
BACA LAGI: ‘Penang kena scam?’, khabarnya bintang import ditamatkan kontrak, cuma sempat main beberapa minit aksi pramusim
BACA LAGI: Suram semusim, 3 bintang Liga Super dijangka lebih bersinar 2025/26
"Seolah-olah menyuruh saya gantung but dan cari kerja lain,” katanya kepada Pan-Africa Football.
Mzava, 32, pernah beraksi bersama beberapa kelab ternama PSL termasuk Bloemfontein Celtic, Lamontville Golden Arrows dan AmaZulu FC, namun sempat berehat lebih setahun sebelum bekas jurulatihnya, Clinton Larsen, membawanya kembali bersama Magesi pada 2024.
Mzava berkata perpindahan ke Penang FC berlaku secara kebetulan apabila seorang ejen tempatan tertarik dengan rakaman videonya dan mengatur sesi percubaan. — Facebook Penang FC
Kepulangannya mencipta sensasi apabila membantu pendatang baharu Betway Premiership itu menjulang trofi Carling Black Label Cup, menewaskan gergasi liga Mamelodi Sundowns 2-1 pada November lalu.
Namun, kegagalan mengekalkan prestasi menyebabkan Larsen dipecat, diikuti penyingkiran Mzava oleh pengendali baharu, Owen Da Gama.
Jelas Mzava, perpindahan ke Penang FC berlaku secara kebetulan apabila seorang ejen tempatan tertarik dengan rakaman videonya dan mengatur sesi percubaan.
“Itulah cara saya ditandatangani. Saya mahu memberikan impak di sini dan membuka laluan untuk pemain Malawi lain,” jelas bekas kapten skuad kebangsaan Malawi itu.
Penang FC menyambut ketibaan Mzava dengan penuh keyakinan, menyifatkannya sebagai benteng yang mempunyai kekuatan, semangat juang tinggi dan kepimpinan semula jadi untuk memperkukuh pertahanan skuad Harimau Kumbang.
Bagaimanapun, timbul khabar angin bahawa kontrak Mzava bakal ditamatkan sebelum sempat membuat penampilan rasmi musim ini, susulan dakwaan kegagalannya memenuhi standard pasukan.
Difahamkan, dia hanya sempat beraksi beberapa minit ketika aksi persahabatan pramusim menentang PDRM FC di Stadium Bandaraya pada Julai lalu.
Setakat ini, Penang FC masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status Mzava, namun spekulasi semakin hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang.
Situasi tersebut mencetus persoalan mengenai keberkesanan proses pemilihan pemain import, dengan sesetengah peminat menyifatkan ia sebagai kes 'scam' import yang gagal memberikan impak sebenar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram