
KES kematian melibatkan pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, Zara Qairina Mahathir masih belum menemui jalan penyelesaian.
Ramai orang mahukan keadilan dalam kes ini selepas melihat satu nyawa anak yang tidak berdosa terkorban akibat tindakan yang didakwa sebagai buli.
Yang pasti, si pelaku tidak dapat hidup dengan tenang kerana doa si mangsa yang dizalimi semasa hidup.
BACA LAGI: Kes Zara: pengguna Facebook dipanggil MCMC, keluarkan kenyataan berunsur 3R
Menurut perkongsian Pelaut Dalam di Facebook, peringatan kepada semua pihak agar berhati-hati dengan doa oleh orang yang dizalimi.
Hal ini kerana, berkemungkinan daripada doa Zara Qairina semasa hidup, ALLAH menggerakan banyak jiwa untuk tampil mempertahankannya.
"Apalah yang didoakan oleh Zara Qairina ketika dia dizalimi? Apa yang didoakan olehnya ketika disakiti sampaikan hari ini ALLAH memanggil banyaknya jiwa-jiwa untuk mempertahankannya dia.
"Sebab itu jaga-jaga ya dengan doa-doa orang yang terzalimi, jangan main-main dengan mereka. Anak kecil yang kita tidak kenali, jauh dekat Papar, Sabah.
"Dia anak kecil yang tidak dikenali, bukannya adalah pengikut berjuta pun, tak ada orang yang kenal dia, tapi bagaimana dia dalam keadaan yang mungkin diuji oleh ALLAH, dalam keadaan tangisan dia berdoa kepada ALLAH, tembus pada langit. Kuatnya doa dia walaupun tiada siapa yang mendengar," katanya.
Dalam masa yang sama, doa orang yang dizalimi cukup berkuasa apatah lagi apabila dia tidak melawan dan bersuara terhadap musuhnya.
"Kalau dia caci maki kita, boleh tahan lagi. Yang paling bahaya, bila kita zalim dengan orang, dia tak bercakap depan kita tapi dia menangis ketika bersujud di hadapan ALLAH.
"Inilah yang paling bahaya, tak akan tenang hidup kita sampai mati dengan doa-doa orang dizalimi. Nampak macam kita menang, tapi sebenarnya tidak," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram