Sudah lama tukar sekolah, bapa pelajar difitnah pembuli Zara Qairina nekad failkan saman


  • Massa
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Bapa pelajar tersebut menafikan penglibatan anaknya (kiri) dalam kes Zara Qairina (kanan).

SEORANG bapa sedia untuk menyaman mana-mana pihak selepas anaknya dikaitkan sebagai salah seorang daripada pembuli Zara Qairina Mahathir.

Bapa yang dikenali sebagai Muhammad Yasim, terpaksa menggunakan media sosial untuk menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan anaknya dikenali sebagai Nurul Qurratu Aini terlibat dalam kes tersebut.

Lebih perit, video yang berlegar di media sosial itu mengaitkan Nurul Qurratu dengan status sebagai "pembunuh."

BACA LAGI: Peguam keluarga nafi audio tular adalah jeritan suara Zara Qairina

BACA LAGI: Peguam sahkan ada kesan cedera pada mayat Zara Qairina selepas bedah siasat

Muhammad Yasim mengatakan yang anaknya tidak terlibat dalam kes tersebut kerana Nurul Qurratu sudah pun berpindah sekolah semasa kejadian berlaku.

"Saya, bapa kepada pelajar ini yang bernama Nurul Qurratu Aini binti Muhammad Yasim (berbaju merah-jersi Sabah) menafikan sekeras-kerasnya fitnah ke atas anak saya yang cuba dikaitkan dia dengan kes Zara Qairina.

"Anak saya bersekolah di sana pada tahun 2022 (tingkatan 1) sehingga 2024 (tingkatan 3) dan pada awal 2025 anak mendapat tawaran dan berpindah sekolah ke Kolej Vokasional Lahad Datu sehingga sekarang," katanya.

Dalam masa yang sama, Muhammad Yasim turut mengatakan yang dia tidak teragak-agak akan menyaman pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut.

Walaupun penyebar asal berita tersebut sudah memadamnya, namun ia masih disebarkan oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

"Oleh yang demikian, saya tidak akan teragak-agak untuk membuat saman sivil kepada mana-mana individu yang cuba mengaitkan anak saya dengan kes ini.

"Untuk makluman, laporan polis sudah dibuat kepada pihak yang memuat naik gambar dan video anak saya dalam akaun mereka, walaupun mereka sudah memohon maaf dan memadam video tersebut, masih ada beberapa individu yang masih menyebarkan berita palsu tersebut.

"Saya juga berharap kepada semua agar memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum sebar dan viral," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram