
SEPAK mula bagi Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin hampir dengan pelbagai kelab sudah mengharungi kejohanan pra-musim untuk mempersiapkan skuad.
Pada pra-musim ini jugalah kita dapat saksikan beberapa nama pemain muda menyerlah dan berjaya mencuri tumpuan para penyokong.
Oleh kerana itu, penyokong mula mendahagakan persembahan 'ubi-ubi' tersebut selepas mereka diberikan peluang untuk menyinar.
BACA LAGI: 'Perang saudara' tercetus di Kedah tanpa sedar, wajarkah Lang Merah jauhi identiti Sang Kenari?
BACA LAGI: Apalah guna ada padang diiktiraf FIFA tapi Sri Pahang tidak 'bernyawa' — Penyokong
Kemunculan 'ubi' berkualiti
Pra-musim kali ini menyaksikan beberapa pemain muda mula mencuri tumpuan merentasi tiga kelab iaitu Liverpool, Arsenal dan Manchester United.
Kita dapat saksikan pemain Liverpool iaitu Rio Ngumoha selain daripada pemain Arsenal, Max Dowman dan Ethan Williams menggegar aksi pra-musim dengan persembahan mereka di padang.
Rio Ngumoha (tengah) mencuri tumpuan dengan persembahan cemerlang semasa pra-musim.
Apabila bercakap mengenai 'ubi', umur mereka benar-benar di peringkat 'ubi' apabila kesemua tiga nama tersebut semuanya berusia bawah 20 tahun dengan Ngumoha (16 tahun), Dowman (15 tahun) serta Williams (19 tahun).
Walaupun berusia masih muda, namun mereka sudah menunjukkan kematangan dalam permainan hingga berjaya mendapat minit dalam persiapan menghadapi musim baharu.
Dari kepercayaan jurulatih kepada penyokong
Minit yang diperoleh Ngumoha, Downman dan Williams bersama kelab masing-masing amat berharga buat mereka kerana lebih banyak mereka peroleh, semakin besar kepercayaan jurulatih.
Bermula kepada kepercayaan jurulatih, persembahan yang baik di padang kemudiannya diterjemah kepada keyakinan penyokong.
Ethan Williams bakal jadi watak penting dalam skuad Manchester United.
Dari situ, penyokong mula semakin dahagakan persembahan daripada pemain muda yang menyerlah dengan harapan 'ubi' tersebut bakal menjadi bintang besar kelab di masa depan.
Dari situ, perjalanan karier bagi Ngumoha, Dowman dan Williams di peringkat senior dijangka akan bermula lebih awal dari jangkaan sambil prospek untuk cemerlang itu cukup besar.
Kelab Liga Super harus berani
Kita suka melihat cerita-cerita begini, bagaimana pemain muda di umur belasan tahun berjaya menembusi skuad utaam dan menjadi bintang.
Malah, kisah pemain Barcelona, Lamine Yamal yang memenangi Kejuaraan Eropah (EURO) bersama-sama Sepanyol pada usia 16 tahun turut membuka mata ramai pihak.
Malangnya, itu tidak berlaku di Liga Super apabila kelab masih tidak berani dalam memberikan minit kepada para pemain muda yang berpotensi tinggi.
Kata kuncinya adalah "percaya", jika kelab tidak percaya, keyakinan mustahil untuk tiba lantas bakat muda akan terus dinafikan peluang untuk menyerlah.
Jika bakat muda tempatan terus tidak diberikan peluang, sukar untuk kita jumpa bakat sebagus Arif Aiman.
Jika ada bakat yang benar-benar berkualiti, berilah peluang untuk ia menyinar, mungkin kita akan temui Arif Aiman yang seterusnya tanpa disedari.
Janganlah sekadar menurunkan pemain muda apabila kelab sudah tidak mampu untuk mendapatkan pemain import atau terhimpit dengan isu kewangan seperti yang dilakukan Kelantan FC atau Kedah Darul Aman FC, usah jadikan mereka sebagai "pilihan terakhir".
Ia kerana jika dibuat sebegitu, mereka akan terbeban dengan tekanan yang muncul pada waktu sukar yang dihadapi kelab.
Dengan musim baharu Liga Super bakal tiba, eloklah kelab-kelab menilai siapakah dalam kalangan pemain muda yang ada yang berpotensi untuk diketengahkan.
Berilah mereka peluang dan rasa percaya, anda pasti tidak akan dikecewakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram