
PROSES bedah siasat mayat pelajar tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustahpha, Papar, Sabah iaitu Zara Qairina Mahathir dijalankan dengan bantuan oleh pakar forensik dari Serdang, Selangor.
Bedah siasat itu dijalankan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu dengan bantuan pakar forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, 45 turut hadir untuk menyaksikan proses bedah siasat tersebut.
BACA LAGI: Kes Zara: Bukan saja boikot, ramai desak tutup SMKA Tun Datu Mustapha
Bedah siasat itu dijalankan oleh Dr Jessy Hui serta Dr Khairul Anwar yang merupakan pakar perunding patologi forensik dari Hospital Sultan Idris Shah dengan proses dilakukan bermula 11.30 pagi.
"Bedah siasat akan dilakukan oleh Dr. Jessy bersama Dr. Khairul Anwar dengan bantuan dua pegawai lain. Proses ini dijangka mengambil masa yang panjang, mungkin antara empat hingga lima jam.
"Semasa proses, seorang peguam yang mewakili keluarga, Encik Shahlan, akan berada di dalam bilik pemeriksaan bagi pihak keluarga," kata peguam mewakili keluarga Zara Qairina iaitu Hamid Ismail.
Kata Hamid lagi, Dr Jessy akan melakukan penerangan awal kepada keluarga Zara Qairina mengenai hasil bedah siasat tersebut.
Ia akan dilakukan sambil mayat pelajar itu akan dibawa ke Sipitang oleh pihak polis bagi ditanam semula.
Laporan tersebut dijangka akan dikeluarkan pada hari yang sama. — The Star/SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram