Selesai 2 minggu 'trial' bersama DPMM, bekas bintang Penang mungkin kembali ke luar negara


  • Podium
  • Isnin, 21 Jul 2025

Kogi mengesahkan baru pulang dari sesi percubaan selama dua minggu bersama DPMM FC. — Instagram/LigaX

SERAMAI empat pemain tempatan sebelum ini dilaporkan menyertai sesi pemilihan bersama kelab negara tersebut iaitu DPMM FC berikutan pasukan itu akan bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim baharu nanti.

Antara nama yang disebut ialah R. Kogileswaran; pemain sayap Sri Pahang FC, Sean Selvaraj, Annil Vigneswaran (bek tengah) dan V. Ruventhiran iaitu bek sayap kiri dari Selangor FC.

Tampil berkongsi perkembangan mengenai sesi percubaan bersama pendatang baharu Liga Super itu, Kogileswaran atau mesra dengan sapaan Kogi mengesahkan baru pulang dari sesi percubaan selama dua minggu bersama DPMM FC.

BACA LAGI: Pestabola Merdeka serlah keunggulan bintang Cina dalam bola sepak Malaysia

BACA LAGI: Lupakan EPL, Kogi kongsi jadual Liga Korea, sepatutnya wajar jadi contoh MFL

"Saya baru balik tengah hari tadi (Sabtu). Sekarang masih tunggu keputusan daripada pengurusan DPMM. Setakat ini nampak agak positif, tapi saya belum buat keputusan muktamad," katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, Kogileswaran pula pernah membuat sensasi apabila pernah mengambil keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan dengan menyertai Chungbuk Cheongju di divisyen keempat pada musim 2023.

Selain kelab berpangkalan di Brunei itu, pemain berusia 27 tahun berkenaan turut mengakui sedang dalam perbincangan dengan beberapa pasukan lain termasuk dari pasukan dalam negara.

Namun, pemain yang beraksi di posisi penyerang sayap kanan itu enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai tawaran tersebut sambil memberitahu bahawa dia sedang mempertimbangkan kontrak terbaik.

Penang FC pernah mendapatkan khidmat pemain sayap, Kogileswaran Raj pada jendela perpindahan kedua Liga Super musim lalu. — Instagram/PenangFC

"Liga M atau liga luar negara tidak tahu tahu lagi. Saya masih menunggu (tawaran daripada pasukan lain. Belum buat keputusan. Ada beberapa tawaran tetapi saya masih belum putuskan.

"Saya masih dalam perbincangan. Saya harap dapat umumkan secepat mungkin," jelasnya yang ditemui selepas acara bola sepak sosial, Liga 7x7 All Stars 2025 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam pada itu, Kogi menyifatkan pengalamannya sebagai sangat istimewa dan tidak akan dilupakan sambil memuji penganjuran Liga X, yang dianggapnya sebagai platform hebat memperkenalkan nama pemain tempatan kepada dunia luar.

Pemain itu diletakkan dalam pasukan bersama Wizards yang diketuai legenda Manchester United, Ryan Giggs dan mastermind Khairy Jamaluddin.

Pasukan itu tewas kepada pasukan Bangsa Bola (diketuai oleh John Terry dan mastermind Nazir Razak) dengan keputusan 6-2 sekaligus mengangkat kejuaraan Liga X 7×7 All Stars 2025 pada edisi pertama dianjurkan.

Giggs bersama John Terry dan Dimitar Berbatov legenda Liga Perdana Inggeris dijemput ke Liga X 7×7 All Stars 2025. — Instagram/LigaX

“Sebenarnya ini antara acara paling menarik yang saya pernah sertai. Saya sangat bertuah dan tidak sangka dapat peluang bermain dengan legenda-legenda Eropah.

"Saya penyokong setia Manchester United, jadi bila dapat main dengan Ryan Giggs, itu satu kenangan yang saya akan ingat sampai bila-bila.

"Banyak persaingan menarik. Kita ada ramai bintang. Kalau ambil gambar mereka ini, bawa ke London atau England pun orang akan tahu siapa mereka. Apa yang Liga X buat, memang satu usaha yang sangat baik," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram