[VIDEO] Berat hanya 25 kg, atlet remaja Palestin maut akibat kebuluran di Gaza


  • Benua
  • Ahad, 03 Ogos 2025

Atef Abu Khater yang sebelum ini sihat dan aktif bersukan menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu di Hospital al-Shifa, Gaza City.

SEORANG remaja lelaki Palestin berusia 17 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan yang serius di Gaza, menjadikan beliau antara ratusan mangsa kebuluran di wilayah bergolak itu sejak perang tercetus Oktober lalu.

Mangsa, Atef Abu Khater yang sebelum ini sihat dan aktif bersukan menghembuskan nafas terakhir pada Sabtu di Hospital al-Shifa, Gaza City, menurut sumber perubatan dan ahli keluarganya.

Menurut keluarganya, berat badan Atef turun mendadak daripada 70 kilogram (kg) kepada hanya 25kg, berat purata bagi kanak-kanak berusia sembilan tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] Gempa bumi Rusia: Berdepan detik cemas, 4 pakar bedah tetap fokus selamatkan pesakit kanser

BACA LAGI: [VIDEO] 'Rakyat Malaysia sensitif', ramai gesa senarai hitam peniaga runcit guna pekerja warga asing

“Kami dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa dia dahulunya seorang juara sukan tempatan. Namun akibat kebuluran teruk, dia mengalami kekurangan zat makanan yang kronik dan akhirnya meninggal dunia,” lapor wartawan Al Jazeera, Hani Mahmoud dari Gaza.

Rakaman video yang dikongsi dan disahkan oleh Al Jazeera

menunjukkan ahli keluarga Abu Khater menangisi pemergiannya sambil mengucapkan selamat tinggal.

Tubuh kurus kering remaja itu kelihatan dalam beg mayat putih dengan tulang pipi yang menonjol dan rangka tulang rusuk jelas kelihatan.

Menurut wartawan tempatan, Wisam Shabat yang memuat naik video tersebut di Instagram, Atef dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal akibat komplikasi teruk kerana kekurangan makanan dan rawatan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia.

 

 

Pengarah Hospital al-Shifa memaklumkan bahawa Atef adalah antara sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin yang maut akibat kekurangan zat makanan dalam tempoh 24 jam lalu di Gaza.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 169 rakyat Palestin termasuk 93 kanak-kanak telah meninggal dunia akibat kebuluran dan malnutrisi, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Walaupun Israel mendakwa telah meningkatkan penghantaran bantuan termasuk menerusi kaedah ‘penerjunan udara’, Agensi-agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan kemanusiaan lain menyifatkan pendekatan itu sebagai berbahaya dan tidak berkesan, serta terus mendesak pembukaan penuh semua lintasan masuk ke Gaza bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan lebih selamat dan menyeluruh.

Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, krisis kebuluran di Gaza adalah 'buatan manusia' dan berpunca daripada usaha menggantikan sistem bantuan PBB dengan GHF, entiti yang disokong Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau turut mendakwa, tentera Israel secara konsisten menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan dan telah menembak penduduk Palestin yang beratur untuk mendapatkan makanan di tapak agihan GHF.

“Tiada masa untuk berlengah lagi. Keputusan politik mesti dibuat segera untuk membuka lintasan masuk tanpa syarat,” katanya dalam kenyataan di platform X.

Sementara itu, ribuan keluarga Palestin masih berusaha mencari sumber makanan dan keperluan asas di seluruh Gaza.

Di Deir el-Balah, wartawan Al Jazeera Hind Khoudary melaporkan bahawa bayi dan kanak-kanak 'mati secara perlahan-lahan' akibat kebuluran yang dipaksa oleh Israel.

Antaranya ialah Misk al-Madhoun, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang mengalami kekurangan zat makanan.

'Kami berjumpa ibu bapa yang hanya mampu memberi anak mereka air sebagai ganti susu,” katanya.

Ramai ibu bapa berjalan jauh setiap hari dalam panas terik untuk mencari dapur awam atau pusat pengagihan makanan, namun walaupun sampai ke tapak yang dikendalikan GHF, mereka tetap berisiko ditembak, cedera atau pulang dengan tangan kosong.

Dalam satu laporan pada Selasa, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) memberi amaran bahawa krisis kebuluran di Gaza kini berada di tahap paling buruk, dengan tahap pemakanan dan pengambilan makanan di Gaza City telah melepasi ambang kebuluran.

“Krisis ini telah mencapai tahap kritikal dan membunuh, berpunca daripada konflik berterusan, kehilangan tempat tinggal secara besar-besaran, akses bantuan kemanusiaan yang sangat terhad serta runtuhnya sistem perkhidmatan asas seperti penjagaan kesihatan,” jelas laporan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram