
PERLAWANAN persahabatan yang melibatkan pempengaruh media sosial sering dianjurkan dengan harapan aksi tersebut dapat menarik peminat masing-masing untuk turun ke stadium.
Meskipun intensiti perlawanan tidaklah sehebat aksi profesional, ia sering menyajikan keriangan buat penonton yang mahu melihat ikon kegemaran masing-masing mempamerkan bakat terpendam.
Tidak cukup dengan itu, pertembungan sebegini sering dihiasi momen mencuit hati kerana pempengaruh yang beraksi berpeluang mencuri perhatian bagi meraih liputan meluas.
BACA LAGI: Enggan jatuh cinta terlalu awal, fans Sang Penyu tunggu dulu debut kapten El Salvador
BACA LAGI: Sembilan maut, 100 cedera dalam insiden rempuhan di stadium bola sepak di San Salvador
Hal tersebut disaksikan ketika sebuah perlawanan melibatkan penggiat media sosial sekitar Amerika Latin yang turut menampilkan seorang individu ternama dari El Salvador, Yeik.
Dia yang juga merupakan YouTuber cukup dikenali di negaranya selepas meraih puluhan ribu pengikut di pelbagai platform kerana telatah dan bakatnya cukup memukau dan mencuit hati.
Tidak cukup dengan itu, pempengaruh tersebut turut menggunakan nama samaran Yeik Nazario kerana mengenakan fesyen rambut seakan-akan legenda Brazil, Ronaldo Nazario ketika kempen Piala Dunia 2002.
Jadi, tidak hairanlah apabila dia kerap kali menyatakan hasrat untuk menceburi bidang bola sepak dengan cita-cita itu boleh dicapai jika dia dapat membuktikan bakat dimiliki.
Oleh itu, dalam usaha mencuri perhatian di negara kelahirannya, Yeik menyertai sebuah perlawanan persahabatan di Honduras pada Ahad yang turut dihiasi beberapa momen berbentuk komedi.
Yeik mengenakan fesyen rambut mirip Ronaldo Nazario. — Facebook/Yeik
Momen tersebut berlaku apabila pemain lawan, El Barbarito terbaring sebelum Yeik menghampirinya sambil cuba melakukan provokasi dalam bentuk gurauan.
El Barbarito yang difahamkan mewakili pasukan Honduras menolak pempengaruh dari El Salvador itu yang kemudian melakukan lagak seakan-akan seorang ahli tinju.
Gurauan kedua-dua pemain tersebut jelas menunjukkan sisi gurauan antara kedua-dua pasukan dalam aksi persahabatan tersebut memandangkan masing-masing tidaklah begitu mengejar kemenangan.
Perlawanan tersebut difahamkan berakhir dengan kejayaan buat El Salvador kerana hantaran di laman media sosial menunjukkan Yeik memegang trofi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram