Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki


  • Mukmin
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Menurut Ustazah Aisyah Jamilah (gambar kecil) makan dengan beradab dan menjaga malu bukan sahaja memperelok imej di mata manusia, tetapi juga mendatangkan keberkatan daripada ALLAH. .

DALAM dunia digital yang serba pantas ini, media sosial bukan sahaja menjadi platform hiburan dan perniagaan, malah turut mencorak budaya masyarakat termasuk adab ketika makan.

Trend terkini menunjukkan semakin ramai pempengaruh, artis dan usahawan menjadikan sesi live (siaran langsung) sambil makan sebagai strategi konten mereka.

Ada yang melakukannya demi menarik tontonan, ada juga yang menjual produk dan tidak kurang menjadikannya platform berinteraksi dengan pengikut.

Namun, sejauh manakah perbuatan ini menepati adab sopan yang diajar oleh Islam?

BACA LAGI: 'Tak sanggup tengok dia bersalin dalam universiti', wanita bantu rakan hamil luar nikah, hantar ke pusat akhlak sebaik tahu

BACA LAGI: [VIDEO] 'Anak yang buat mummy nak ada baby sendiri', Watie titip ucapan hari jadi buat Ayash

Pengarah Akademik Kolej Islam As Sofa, Ustazah Aisyah Jamilah Moh Shin berkata, trend sedemikian hakikatnya menghakis nilai malu dan adab masyarakat Muslim.

“Makan sambil bercakap, membaca komen, mengunyah dengan mulut terbuka dan kadangkala bergaduh dengan netizen secara langsung, semua ini menimbulkan persoalan tentang hilangnya rasa malu dan adab di hadapan rezeki.

"Dalam Islam, sifat malu yang dituntut semasa makan termasuklah menahan diri dari mengatakan sesuatu yang keji serta melakukan perkara yang mungkar.

“Jika perasaan malu sudah terhakis, maka mudah sahaja kita melakukan sesuatu yang boleh menurunkan martabat diri di mata manusia dan di sisi ALLAH.

“Ingat bahawa media sosial boleh menjadi ladang pahala jika digunakan dengan adab, tetapi ia juga boleh menjadi pintu dosa jika disalah guna,” tegas Ustazah Aisyah ketika dihubungi Majoriti.

Menurut beliau, makanan itu termasuk sebagai salah satu nikmat daripada ALLAH sebagaimana firman-NYA dalam Surah Al-A’raf ayat 31 yang bermaksud:

“Wahai anak Adam! Pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid dan makanlah serta minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.”

Umat Islam sentiasa dinasihatkan supaya menghormati dan tidak mencela makanan.

Justeru, sebagai umat Islam, kita juga diajar supaya menghormati makanan hingga peringkat tidak boleh mengutuk atau mencercanya jika ia tidak menepati citarasa.

“Rasulullah SAW tidak pernah mencela makanan sama sekali. Jika Baginda menyukainya, Baginda akan memakannya dan jika tidak, Baginda akan meninggalkannya,” kata Ustazah Aisyah memetik hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ulasan peluang cela makanan 

Tambahnya lagi, pada zaman ini, budaya membuat ulasan makanan di media sosial sering disalahgunakan.

“Segelintir influencer atau netizen sendiri menjadikan review makanan sebagai peluang mencela rasa, rupa dan penyediaan hidangan secara terbuka dan kadangkala dengan nada yang sinis.

“Sedangkan dalam Islam, mencela makanan adalah perbuatan yang ditegah. Ia bukan sahaja menzahirkan kurangnya rasa syukur, bahkan boleh mengguris hati mereka yang menyediakannya.

“Lebih-lebih lagi jika celaan itu disiarkan kepada ribuan penonton, maka ia akan menjadi dosa jariyah yang tersebar secara meluas. Malah, ia turut menunjukkan perbuatan kita yang jauh daripada ciri seorang Muslim dalam menjaga maruah, adab dan tutur kata,” ujar Ustazah Aisyah lagi.

Mengulas lanjut, beliau membawakan pesan yang pernah dinukilkan oleh Imam Al-Ghazali RA perihal makanan sebagai rezeki yang dikurniakan ALLAH.

“Makan itu bukan sekadar mengisi perut, tetapi satu ibadah jika dilakukan dengan adab yang benar.

“Adab makan dalam Islam bukan hanya tertakluk kepada doa dan tangan mana yang digunakan, tetapi juga cara kita menghormati rezeki dan menjaga lisan di hadapannya.

“Media sosial mungkin bersifat terbuka, tetapi itu bukan alasan untuk kita melonggarkan prinsip demi meraih likes dan view semata-mata sekali gus mengundang murka ALLAH,” tegas Ustazah Aisyah.

Beliau turut menekankan bahawa aspek adab tidak boleh dipisahkan daripada pendidikan jiwa yang disebut sebagai ta’dib dalam Islam.

“Ta’dib merangkumi pembentukan akhlak, pengasuhan hati dan panduan adab yang ditanam sejak kecil. Wanita Muslim yang terdidik dengan ta’dib akan tahu menjaga maruah, malu dan tutur katanya walaupun di hadapan kamera.

“Kerana malu adalah sebahagian daripada iman dan adab adalah cermin kepada keperibadian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan jika seseorang itu menjadikan ‘live sambil makan’ sebagai satu bentuk hiburan atau bisnes, biarlah ia dilakukan dengan penuh sopan dan rasa syukur dengan rezeki yang dikurniakan.

“Bukan dengan hilai tawa berlebihan, bercakap ketika mulut dipenuhi makanan atau mencela makanan yang tidak menepati selera.

“Rezeki itu datang daripada ALLAH. Hormatilah ia, walau sekadar sesuap nasi atau sebuku roti.

“Berusahalah untuk menjadi pengguna media sosial yang bukan hanya bijak mencipta konten, tetapi juga menjaga adab dan mencontohi Rasulullah SAW dalam setiap perbuatan termasuk ketika makan,” pesan Ustazah Aisyah.

Apa pun, mungkin ramai yang menganggap konten yang dibuat sekadar hiburan, namun setiap perbuatan pasti akan ditanya di hadapan ALLAH di akhirat kelak.

Makan dengan beradab dan menjaga malu bukan sahaja memperelok imej di mata manusia, tetapi juga mendatangkan keberkatan daripada TUHAN Yang Maha Esa.

Dalam dunia yang semakin terbuka ini, jadilah wanita Muslim yang tertutup akhlaknya namun bersinar di kalangan penghuni langit.

Tip buat siaran langsung sambil menjaga adab dan malu:

1. Utamakan adab makan dahulu. Mulakan dengan doa, makan dengan tangan kanan dan jangan gelojoh.

2. Elak bercakap ketika mulut penuh. Balas komen penonton selepas mengunyah dengan tenang.

3. Jangan cela makanan. Jika kurang sedap, cukup sekadar diam atau gunakan bahasa yang lembut.

4. Hadkan masa makan di depan kamera. Fokus untuk makan dengan tertib, kemudian teruskan sesi interaksi.

5. Ingat setiap ‘live’ adalah cerminan diri dan iman. Jika malu menjadi pakaian kita, penonton akan lebih menghormati kita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram