Sembilan maut, 100 cedera dalam insiden rempuhan di stadium bola sepak di San Salvador


  • Benua
  • Ahad, 21 Mei 2023

Perlawanan antara FC Alianza dan CD FAS dibatalkan dan anggota penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

SEKURANG-kurangnya sembilan maut dan kira-kira 100 lagi cedera dalam insiden rempuhan di stadium bola sepak di El Salvador, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik akhbar tempatan La Prensa Gráfica pada Sabtu.

Menurut laporan, mangsa yang maut terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital berhampiran stadium Cuscatlán di San Salvador, dengan sekurang-kurangnya dua cedera parah, menurut polis El Salvador di Twitter.

Susulan itu, perlawanan antara FC Alianza dan CD FAS dibatalkan dan anggota penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

Akhbar itu melaporkan bahawa peminat mengadu stadium sudah sesak dan ramai lagi masih menunggu untuk masuk.

"Hanya dua pintu dibuka di stadium dan mereka yang berada di luar stadium tetap mahu menyebabkan berlaku rempuhan...," kata seorang peminat bola sepak.

Rempuhan itu menyebabkan golongan kanak-kanak dan warga emas mengalami sesak nafas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram