
TULAR di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tindakan kejam seorang budak lelaki yang didakwa membunuh dua ekor anak kucing di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, Selangor.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pengguna Instagram, Shima Aris, rakaman video dan beberapa gambar menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki berpakaian biru mengambil dua ekor anak kucing dari dalam sangkar yang terletak di tingkat lima, Blok D, pangsapuri berkenaan.
Shima yang juga aktivis haiwan berkenaan berkongsi bahawa kedua-dua anak kucing tersebut didakwa dicampak dari tingkat atas, sebelum mayatnya ditemui di tingkat empat bangunan sama.
BACA LAGI: Dekorasi kediaman mesra haiwan, pencinta kucing wajib ambil tahu!
"Kucing-kucing itu baru lahir dan diambil dari ibu mereka. Badan mereka ditemui di tingkat empat. Berapa banyak lagi kematian perlu berlaku sebelum tindakan diambil?" tulis pengguna tersebut dalam nada kecewa.
Dia turut menggesa penduduk setempat dan orang ramai untuk membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta pihak polis bagi memastikan si pelaku, walaupun masih kanak-kanak dikenakan tindakan sewajarnya bersama penjaga mereka.
Susulan kejadian tersebut, Penolong Pegawai Veterinar Daerah Hulu Langat, Effah Juriana Jarmo menjelaskan insiden sebegitu rupa mencerminkan kegagalan komuniti dalam mendidik nilai kasih sayang dan kebajikan terhadap haiwan.
Beliau menekankan bahawa tindakan kejam terhadap haiwan, termasuk meracun, menyeksa atau mencederakan haiwan secara sengaja adalah jenayah serius di bawah Seksyen 31 Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772), yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
"Mohon mana-mana individu yang rasa terganggu dengan haiwan liar, sila gunakan saluran yang betul mengikut undang-undang atau laporkan kepada pihak berkuasa. Elakkan tindakan yang boleh membahayakan nyawa haiwan atau manusia lain (termasuk kanak-kanak)," jelasnya.
Effah Juriana turut menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) berkenaan untuk memainkan peranan proaktif dalam memastikan keselamatan dan keharmonian komuniti, termasuk mengawal isu haiwan liar.
"Haiwan liar boleh menyebabkan gangguan komuniti, serta mencetuskan ketakutan, memindahkan penyakit (zoonosis), dan menyebabkan kerosakan harta benda awam.
"JMB bertanggungjawab untuk memastikan kawasan strata selamat dan bersih, seperti termaktub dalam Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
"Sila letakkan papan tanda 'di larang memberi makanan kepada haiwan liar'. Adakan program kesedaran: Larangan memberi makanan kepada haiwan di luar kawasan kediaman, kepentingan kebersihan, dan risiko penyakit.
"Edarkan risalah atau gunakan aplikasi WhatsApp dan papan kenyataan untuk maklumat berkala," jelasnya.
Pemilik haiwan juga diingatkan untuk bertanggungjawab dengan memastikan haiwan peliharaan dipantau, divaksin, dimandulkan dan tidak dilepaskan secara bebas hingga mengganggu kejiranan.
Tangkap layar perkongsian dari Shima.
"Sila pastikan haiwan perliharaan tidak dilepaskan bebas sehingga mengganggu kejiranan terutama membuang najis merata-rata. Memastikan semua haiwan mendapatkan vaksinasi, pemvaksinan dan penjagaan kebersihan haiwan diutamakan.
"Sila lakukan pemandulan haiwan bagi mengawal populasi yang tidak terkawal. Pemilik haiwan bertanggungjawab dari mendedahkan haiwan menerima ancaman dari luar. Sekiranya pemilik haiwan mendedahkan haiwan kepada ancaman, tindakan akan dikenakan.
"Kegagalan menjalankan jagaan dan pengawasan yang munasabah yang berhubungan dengan perlindungan haiwan daripada penganaiyaan atau kebajikan haiwan boleh disabitkan dengan suatu kesalahan di bawah subseksyen (1) atas sebab kecuaian tidak boleh dipenjarakan tanpa memberikannya pilihan untuk didenda," pesannya.
Effah Juriana menegaskan bahawa penduduk setempat perlu mengelakkan tindakan terburu-buru seperti meracun atau mencederakan haiwan, sebaliknya melaporkan sebarang masalah kepada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram