
DALAM era moden yang sering mengukur status seseorang berdasarkan jenama kereta yang dipandu, satu hantaran di media sosial mencetus perbincangan hangat apabila warga maya membincangkan pandangan wanita terhadap lelaki yang memandu kenderaan biasa seperti Perodua Bezza.
Perbincangan itu tercetus menerusi satu ciapan pengguna akaun Threads, @mmz4nn yang bertanya secara terbuka mengenai perkara tersebut.
“For girl, you guys okay kah kalau pasangan itu pakai kereta biasa seperti Bezza? I mean ya lah lelaki banyak komitmen, you guys akan terima ke atau korang pergi cari lelaki lain?," katanya.
Pandangan peribadi Dr. Malar tentang pemilihan kereta dan nilai sebenar dalam memilih pasangan.
Pertanyaan itu pantas mengundang pelbagai reaksi, namun satu perkongsian yang paling mencuri tumpuan datang daripada doktor dan pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan yang tampil dengan kisah peribadinya sebagai jawapan penuh inspirasi.
Mengimbas detik awal perkenalan mereka, Dr. Malar mendedahkan bahawa ketika pertama kali bertemu suaminya, beliau memandu kereta jenis Proton Wira yang sebenarnya milik abangnya, manakala suaminya pada ketika itu hanya memiliki sebuah motosikal.
“My husband drove old Wira on our first date, lepas itu baru tahu rupanya itu kereta abang dia. Dia ada motor saja waktu itu,” katanya.
Malah, ketika mereka mahu mendirikan rumah tangga, keluarga pihak lelaki mencadangkan agar suaminya membeli Toyota Vios kerana bakal berkahwin dengan seorang doktor. Namun, Dr. Malar menolak cadangan tersebut.
“Saya tak bagi. Saya suruh dia beli Viva sebab saya sudah ada Pesona. Sesuai untuk kami, satu Sedan, satu kereta kecil nak hidup dekat Kuala Lumpur ini," tambahnya.
Kini selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga, pasangan itu hidup selesa dengan kehidupan yang stabil, walaupun hanya memandu kereta biasa.
Lebih penting bagi Dr. Malar, mereka masih mampu menjaga kedua-dua belah keluarga dan memberi keselesaan kepada anak-anak.
“It’s not about the car, it’s about the man,” jelasnya.
Perkongsian Dr. Malar membuktikan bahawa kualiti seorang lelaki tidak seharusnya diukur berdasarkan jenama kenderaan yang dimilikinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram