PENDEKATAN menarik diambil Terengganu FC untuk menambah baik kualiti jentera serangan apabila mereka mengumumkan kehadiran penyerang baharu, Nelson Bonilla pada Rabu.
Dia yang sebelum ini meledak di Thailand bersama beberapa kelab seperti Bangkok United dan Sukhothai memiliki reputasi cukup baik dengan rekod jaringan setara bekas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT), Diogo Luis Santo.
Tidak cukup dengan itu, pemain berusia 33 tahun tersebut merupakan kapten skuad antarabangsa El Salvador dengan 20 gol sudah direkodkan dalam 62 penampilan.
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring 102 gol sepanjang karier antara pro-kontra Nelson Bonilla sertai Terengganu FC
BACA LAGI: [VIDEO] Harapan fans Terengganu tak kesampaian, bekas bek import lebih suka ke liga India
Bonilla memiliki rekod cukup baik sepanjang kariernya. — Agensi
Jadi, kehadiran penyerang berkenaan pasti akan meningkatkan mutu serangan Terengganu FC yang sudah cukup cemerlang dengan kualiti Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Ivan Mamut.
Bagaimanapun, kehangatan itu kurang dirasai penyokong Sang Penyu yang tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap Bonilla bagi separuh kedua Liga Super 2024/25.
Bagi mereka, rekod yang pernah dicipta di liga-liga lain pernah disertainya bukanlah petanda sebenar bahawa penyerang El Salvador itu dapat meneruskan rentak di arena bola sepak negara.
Selain itu, usianya yang sedikit lanjut dikhuatiri akan menjejaskan lagi prestasinya di atas padang dalam misi kelab Pantai Timur terbabit untuk layak ke pentas Asia musim depan.
"Kita tengok persembahannya nanti, baru boleh dinilai. Kalau dilihat kepada prestasi import kelab Kemboja lebih baik daripada import Sang Penyu dalam Piala Shopee pada Rabu lalu," kata Ariffin Esa.
Akhyar dan Safawi merupakan tonggak utama jentera serangan Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
"Risau juga kerana dia kerap beraksi dari bangku simpanan ketika bersama Sukhothai sehingga penghujung kontrak. Harap dengan Terengganu FC dia dapat buktikan kelayakan untuk pulang ke kesebelasan utama," kata Azlan Mira.
"Tengok dahulu aksi pertamanya dengan Terengganu FC, barulah boleh beri pujian. Semoga boleh bantu kelab ini dalam Liga Super 2024/25," kata Azrol Azuan.
Musim ini, skuad Sang Penyu memiliki rekod serangan ketiga terbaik dalam Liga Super selepas menjaringkan 15 gol dengan hanya JDT (28) dan Selangor FC (16) mencatatkan pulangan lebih baik.
Sekiranya rekod tersebut dapat ditambah baik, tidak mustahil bagi kelab kendalian Tomislav Steinbruckner itu untuk merebut tempat kedua bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram