[VIDEO] Beri tulang ayam kepada gelandangan bukan eksperimen sosial — Sam Wong


  • Massa
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Sam (kiri) menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan.

PEMPENGARUH media sosial Malaysia, Sam Wong tampil menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan tiga pencipta kandungan yang memberi nasi berlauk tulang ayam kepada gelandangan dan mendakwa ia sebagai ‘eksperimen sosial’.

Sam menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan bukan satu bentuk eksperimen sosial, sebaliknya sekadar perbuatan yang bersifat kejam demi meraih tontonan di media sosial.

Menurut Sam, ramai anak muda kini bercita-cita untuk menjadi pencipta kandungan, namun tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu boleh memberi gambaran yang salah kepada golongan mereka.

BACA LAGI:Pempengaruh beri gelandangan tulang ayam dibebas atas jaminan polis

BACA LAGI:'Ini bukan content, ini penghinaan', Mekyun selar tindakan remaja beri sisa tulang ayam kepada gelandangan

“Saya rasa sedih melihatnya kerana mereka terpaksa mencipta kandungan sebegitu untuk mendapatkan views. Mereka ada 100,000 pengikut atau lebih. Mereka tahu setiap video yang dimuat naik akan mempengaruhi generasi muda.

"Anak-anak muda akan fikir okey untuk lakukan perkara itu. Mungkin lain kali mereka akan buat sesuatu yang lebih teruk demi views dan likes. Saya rasa itu tak betul,” katanya kepada Majoriti.

Pempengaruh berkenaan juga turut mempertikaikan niat sebenar di sebalik video tersebut, mempersoalkan logik di sebalik tindakan memasukkan tulang ayam ke dalam makanan untuk diagihkan kepada golongan gelandangan.

"Seseorang manusia biasa tidak akan memikirkan untuk melakukan itu. Saya rasa satu lagi pandangan saya adalah kerana penonton dan semua orang dalam talian telah memberi apa yang mereka mahu iaitu likes.

"Jelasnya, mereka telah membuat sesuatu yang kurang bijak. Apabila penonotn memberikan apa yang mereka mahukan, ia seolah-olah penonton juga ingin menonton konten sebegitu rupa.

"Mereka (penonton) beri likes, beri tontonan, beri perhatian. Mereka (pencipta kandungan) tahu ini akan jadi viral, jadi mereka akan buat lebih banyak kandungan ekstrem," jelasnya.

Sam pada masa sama menggesa agar masyarakat Malaysia lebih bijak dalam menyokong dan memilih kandungan yang sihat serta bermanfaat, bukannya memberi perhatian kepada konten yang bersifat provokatif atau merendahkan maruah manusia lain.

Mengulas lanjut mengenai landskap penciptaan kandungan hari ini, Sam menyeru pencipta kandungan agar tidak terlalu terikat dengan angka dan trend semata-mata, sebaliknya fokus kepada niat asal dan minat sebenar.

Dia yang lebih dikenali dengan kandungan fesyen dan temubual di jalanan, percaya pencipta kandungan harus kekal jujur dengan identiti dan minat mereka, bukan sekadar ikut trend demi populariti.

"Semua orang kejar views, likes, followers. Tapi pada akhirnya, itu semua cuma nombor. Siapa kita sebagai manusia lebih penting. Media sosial takkan kekal selamanya.

"Sebagai pencipta konten, ia adalah tentang membuat apa yang anda suka dan sebenarnya apa yang anda menikmati terlebih dahulu. Sebagai contoh, saya suka konten berkaitan dengan fesyen.

"Saya suka bertanya kepada orang. Saya melakukan temu bual di jalanan. Semua orang akan mempunyai niat untuk sesuatu. Mereka sepatutnya mengikuti niat yang betul untuk mencipta konten," kesannya.

Bukan itu sahaja, Sam juga turut menyokong jika pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis campur tangan dalam isu kandungan yang terlalu ekstrem dan mencetuskan ketidakharmonian.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan tiga individu dipercayai pempengaruh media sosial yang direman pada Selasa bagi membantu siasatan kerana memberi sisa makanan berupa tulang ayam dan nasi kepada gelandangan sudah dibebaskan atas jaminan polis.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketiga-tiga mereka yang masing-masing berusia 19, 18 dan 14 tahun dibawa ke Seremban, Negeri Sembilan dari Johor Bahru, Johor untuk dikenakan tahanan reman.

Mohamad Hatta berkata, ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan; Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram