Tiket percuma sekali pun, tak ramai turun ke stadium jika main teruk— Zulakbal


  • Podium
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Peminat hanya akan tertarik untuk turun ke stadium jika persembahan terbaik dapat ditonjolkan. — Facebook/MFL

MESKIPUN pelbagai usaha sudah dibuat untuk merancakkan arena bola sepak tempatan, jumlah kehadiran penonton ke stadium masih belum mencapai tahap memberangsangkan.

Keadaan tersebut sekali gus menyukarkan usaha Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membawa masuk pelabur kerana mereka beranggapan pulangan dijanjikan tidak cukup berbaloi.

Namun, di sebalik suasana sendu itu, ia membuka ruang buat sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menawarkan tiket percuma dengan tujuan tersendiri.

BACA LAGI: Tak perlu spesifik, cukuplah dedah anggaran gaji pemain Liga M — Zulakbal 

BACA LAGI: Tak mustahil ada negara tarik diri sertai Sukan SEA jika konflik Thailand-Kemboja berterusan

Pengagihan tiket percuma merupakan inisiatif baik dalam menarik peminat untuk turun ke stadium.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan sebilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sekitar Pulau Pinang yang menjanjikan tawaran sedemikian bagi aksi antara Penang FC dan Terengganu FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Berdasarkan perkongsian di media sosial, kira-kira 10 ahli politik sekitar Pulau Mutiara memberi tiket percuma dengan hampir 1,200 tersedia untuk mana-mana penyokong yang berminat.

Inisiatif dilancarkan itu jelas membuahkan hasil kerana jumlah kehadiran di venue perlawanan mencecah 4,809 penonton dengan angka tersebut adalah kedua tertinggi dalam minggu pertama Liga Super 2025/26.

Pendekatan sebegitu turut disokong pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim yang berpandangan tawaran itu cukup baik, namun persembahan pasukan di atas padang perlu turut diperbaiki.

"Dari sudut positif, pemberian tiket sebegini boleh membantu menjadikannya popular, termasuk untuk menaikkan minat dalam kalangan peminat generasi muda.

Zulakbal mengingatkan setiap pasukan supaya memberi persembahan terbaik untuk terus menarik penyokong ke stadium.

"Sebagai permulaan, ia merupakan langkah baik dalam menyemarakkan semangat peminat dan mengekalkannya sebagai sukan nombor satu negara. Namun, popularitinya masih bergantung kepada persembahan pasukan di atas padang," katanya kepada Majoriti.

Sebelum ini, pelbagai pihak pernah menawarkan inisiatif tiket percuma kepada peminat sebagai langkah mempromosikan diri selain mempunyai agenda tersendiri.

Meskipun pulangan daripada pelaburan tersebut tidaklah begitu jelas, ia boleh menyajikan platform buat mereka supaya lebih dekat dengan peminat fanatik bola sepak negara.

Pandangan Zulakbal berhubung pasukan perlu memperbaiki prestasi juga perlu disokong kerana penonton masih perlu berbelanja untuk turun ke stadium meskipun tiket perlawanan adalah percuma.

Kekalahan dialami skuad Harimau Kumbang sudah tentu menjejaskan kesungguhan peminat untuk terus beri sokongan. Facebook/Penang FC

"Secara tidak langsung, penduduk setempat akan menghargai kerajaan negeri dan ADUN masing-masing. Bagaimanapun, ia masih bergantung kepada persembahan atas padang.

"Ini kerana walaupun dapat tiket percuma sekali pun tetapi main teruk, orang tidak akan terus tertarik untuk datang. Jadi, kerjasama antara Adun dan pasukan cukup penting," katanya lagi.

Kekalahan Penang FC kepada Terengganu FC itu mengesahkan penegasan dikongsikan Zulakbal kerana peminat seakan-akan tidak lagi tertarik untuk hadir ke stadium.

Namun, skuad Harimau Kumbang masih berpeluang mengubah situasi itu kerana masih terdapat banyak perlawanan berbaki, termasuk yang dijadualkan bakal berlangsung di Stadium Bandaraya sepanjang musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram