Tak perlu spesifik, cukuplah dedah anggaran gaji pemain Liga M — Zulakbal 


  • Podium
  • Sabtu, 14 Jun 2025

Berkongsi gaji pemain bukanlah perkara luar biasa dalam dunia bola sepak. — Facebook/MFL

PERBINCANGAN mengenai ketelusan dalam industri bola sepak tempatan sekali lagi menjadi topik hangat apabila isu mengenai kelab Liga Malaysia (Liga M) sepatutnya terbuka berkongsi mengenai gaji pemain mereka dan menyoroknya. 

Sebelum ini, Semuanya Bola melaporkan bahawa bola sepak Malaysia menyaksikan gaji pemain kekal sebagai rahsia yang dijaga rapi dan ia adalah sesuatu yang semakin sukar untuk diterima dalam dunia bola sepak moden.

Berkongsi gaji pemain bukanlah perkara luar biasa susulan liga-liga utama dunia seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat, malah liga serantau seperti Thai League juga terbuka dalam isu itu. 

BACA LAGI: JDT bercita-cita besar sambar 'midfield' Sepanyol, sanggup tawar gaji hampir setengah juta ringgit sebulan

BACA LAGI: Nafi kelab tak selesai tunggakan gaji, KDN FC harap pemain faham situasi

Memberi pendapat mengenai hal berkenaan, pemerhati bola sepak tanah air iaitu Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyarankan agar gaji pemain Liga Malaysia tidak perlu diumumkan secara spesifik, namun cukuplah sekadar didedahkan dalam bentuk anggaran.

Menurut Dr. Zulakbal, meskipun gaji merupakan hal yang bersifat peribadi dan sulit dalam mana-mana bidang profesional, pemakluman anggaran nilai atau julat gaji pemain masih penting bagi menunjukkan ciri-ciri profesionalisme dalam pengurusan sukan.

Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.

"Saya fikir gaji secara spesifik adalah perkara yang private and confidential (peribadi dan sulit), dalam apa bidang sekalipun. Namun begitu, perkara itu tetap ada anggaran dan mempunyai nilai.

"Macam mana awak tahu seseorang pemain itu berapa nilai dia? RM4 juta kan? Mana awak tahu empat juta? Siapa letak? Jadi, khabaran itu memang ada dan ciri-ciri keprofesionalisme dalam diri kita. Tapi tidak menyeluruh," katanya kepada Majoriti. 

Zulakbal menambah, kebanyakan pemain profesional sama ada tempatan atau antarabangsa akan dinilai berdasarkan beberapa faktor utama termasuk pengalaman, penyertaan bersama pasukan kebangsaan, serta sejarah bermain di liga tertentu.

Pemain beraksi bersama skuad kebangsaan lebih mempunyai nilai. — Facebook/MalaysiaNT

"Biasanya gaji, nilai dan jumlah seseorang pemain itu bergantung kepada pengalaman beraksi dengan skuad kebangsaan atau tidak.

"Kalau main kebangsaan, adakah pemain itu merupkan kesebelasan utama atau tidak? Atau simapanan saja? Dilihat juga liga mana dia bermain sebelum ini. Itu semua adalah menetapkan nilai harga diri seorang pemain. 

"Dalam era profesional, itu semua ada ketelusan adalah perkara utama. Cuma saya katakan tadi, sesebuah kelab boleh beri range gaji pemain tapi tidak boleh berkongsi secara spesifik," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram