
KETEGANGAN antara Kemboja dan Thailand sememangnya menggusarkan penduduk sekitar Asia Tenggara kerana berdasarkan laporan semasa, seramai 34 nyawa sudah terkorban, termasuk orang awam.
Konflik itu difahamkan berpunca daripada serangan salah sebuah negara, namun tiada pihak mahu bertanggungjawab setakat ini dengan beberapa proses rundingan sedang dijalankan.
Gencatan senjatan sudah pasti dapat dipersetujui segera kerana masing-masing enggan menyaksikan ketegangan berterusan kerana Thailand akan menganjurkan beberapa acara peringkat antarabangsa tahun ini, termasuk menjadi tuan rumah Sukan SEA.
BACA LAGI: Dua harapan golf wanita mampu sumbang pingat di Sukan SEA — Presiden MGA
BACA LAGI: Reputasi Thailand tercalar teruk, ramai pengurus desak Piala Raja Thai ditangguh
Ketegangan terus disaksikan di sempadan Thailand dan Kemboja ketika ini. — Agensi
Kejohanan yang bakal bermula pada Disember depan memerlukan persiapan terbaik bagi memastikan kesemua atlet, termasuk dari dalam negara mampu memberikan persembahan memukau.
Bagaimanapun, bagi pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Zulakbal Abd Karim, latihan dijalankan peserta dijangka tidak terjejas meskipun ketegangan ketika ini belum reda.
Menurutnya, sasaran peribadi diletakkan setiap atlet pada temasya tersebut mampu membuatkan mereka sedikit sebanyak melupakan konflik yang berlaku dan memberi fokus terhadap sesi ditetapkan.
"Memang ada kebimbangan, tetapi tidaklah sehingga menepikan matlamat mereka, lebih-lebih lagi sekiranya tuan rumah dapat memberi keselamatan terjamin. Atlet akan cuba membawa pulang pingat mahupun memperbaiki rekod peribadi terbaik walaupun ada kegusaran.
Zulakbal percaya atlet akan terus memberi tumpuan meskipun gusar akan situasi semasa.
"Negara kita juga akan memainkan peranan dalam menangani masalah tersebut kerana Malaysia merupakan tuan rumah Sidang Kemuncak Asean 2025. Jadi, setiap pihak pasti cuba meredakan tekanan ketika ini," katanya kepada Majoriti.
Zulakbal turut menambah terdapat kemungkinan negara akan menarik diri daripada temasya tersebut kerana keputusan sedemikian pernah diambil ketika Olimpik Moscow 1980 yang dianjurkan semasa Perang Dingin.
Tetapi, sekiranya Thailand sebagai penganjur dapat memberi jaminan dari segi keselamatan, Malaysia sudah tentu akan terus mengambil bahagian dengan terus menjaga kebajikan setiap atlet.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan perubahan venue kejohanan, Zulakbal berkata, perkara tersebut pasti dibincangkan kerana penganjurannya tidak akan menelan kos terlalu besar.
Penganjuran Sukan SEA di Thailand semestinya terkesan dengan konflik antara negara tersebut dan Kemboja. — Agensi
"Penganjuran Sukan SEA tidak memerlukan negara penganjur membangunkan kompleks dan lokasi penempatan baharu buat atlet kerana apa yang ada dalam negara Asean sudah cukup.
"Saya percaya kemungkinan itu akan dibincangkan dan saya yakin Malaysia sendiri mungkin bersedia untuk menjadi tuan rumah memandangkan kita mempunyai kemudahan mencukupi selepas pernah menganjurkan Sukan SEA dan Sukan Komanwel," katanya.
Setakat ini, perkara berkenaan belum dibincangkan dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hanya menyatakan keselamatan atlet serta pegawai akan menjadi keutamaan sambil mengharapkan penyelesaian dapat dicapai segera.
Berdasarkan penggiliran, Malaysia akan menjadi venue utama temasya tersebut pada edisi akan datang selepas kali terakhir dipilih pada 2017 yang ketika itu menyaksikan negara berada di tangga teratas kutipan pingat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram