Liyana, Ayu dan Jing Xuen antara bakat golf Asean buru slot kelayakan Kejohanan Maybank 2025


  • Podium
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Liyana antara nama bakat Malaysia yang memburu slot ke Kejohanan Maybank 2025. — The Star— May

SAINGAN pusingan kelayakan Asean Kejohanan Maybank 2025 menyaksikan hampir 70 pemain profesional dan bakat-bakat amatur berentap di Kuala Lumpur Golf & Country Club untuk merebut lima slot bagi menyertai kejohanan berprestij di bawah kalendar Jelajah LPGA pada 30 Oktober hingga 2 November depan.

Peluang Malaysia untuk melibat anak tempatan bersaing dengan nama besar pemain golf wanita dunia amat tinggi apabila seramai 24 pemain lokal menyertai pusingan kelayakan selama dua hari itu bermula 12 Ogos sehingga 13 Ogos.

Dua permata negara yang menjadi tumpuan, Liyana Durisic dan Ng Jing Xuen dengan masing-masing memiliki pengalaman luas dalam kejohanan peringkat tertinggi.

BACA LAGI: Dua wakil negara, pemenang emas Olimpik antara 78 peserta berentap Kejohanan Golf Maybank 2024

BACA LAGI: Villea Rompin, 'hidden gem' buat peminat sukan golf, pencinta ketenangan

Liyana misalnya, merangkul kedudukan ketiga terbaik dalam pusingan kelayakan Asean Kejohanan Maybank 2024 dan mendiami tangga ke-78 pada kejohanan tersebut.

Untuk tahun ini, Liyana berjaya menjulang trofi Kejohanan Tertutup PGM Royal Pekan dan lima kali mencatatkan kedudukan 10 teratas dalam kejohanan di Australia dan Thailand.

Liyana berkata, dia berasa bangga dengan peluang yang diberikan Maybank untuk membuka platform bagi pemain dari negara Asean bersaing di pusingan kelayakan ini.

 

"Ini platform yang bagus untuk kita merasai pengalaman seperti Jelajah LPGA dan pengalaman bermain di luar membuatkan saya menjadi lebih baik.

"Saya berasa sangat bagus untuk kembali mengharungi pusingan kelayakan ini dengan kehadiran lebih ramai pemain terutamanya dari Thailand.

"Saya teruja untuk menghadapi cabaran ini dan meningkatkan tahap permainan. Saya sangat teruja tetapi juga berdebar.

"Tahun ini, saya akan belajar daripada pengalaman lalu iaitu mempercayai permainan sendiri. LPGA adalah impian semua orang," katanya.

Bagi Jing Xuen, pusingan kelayakan ini amat penting buat dirinya bagi melayakkan diri ke pertandingan LPGA, sekali gus berterima kasih kepada Maybank atas peluang yang diberikan.

Pemain wanita tunggal yang memenangi pingat emas di Sukan SEA 2023 itu sudah bertukar status sebagai pemain profesional pada tahun ini pada usia 16 tahun.

Malah dia juga sudah layak menyertai Jelajah LPGA China 22025 yang menyaksikan dia merasai kedudukan 10 dan 20 teratas.

"Bermain di pertandingan yang besar bersama-sama pemain berkelas dunia pada 2023 adalah pengalaman hebat ketika saya berusia 15 tahun pada masa itu. Banyak yang saya pelajari dan itu impian akhir saya untuk layak ke LGPA.

"Dengan pengalaman bermain di China, yang mana saya menduduki tempat keenam pada pertandingan terakhir, memberikan saya semangat untuk pusingan kelayakan ini," katanya.

Thailand menjadi kontinjen paling banyak menghantar wakil dengan 36 pemain termasuk dua bintang amatur iaitu Chayanit Wangmahaporn dan Achiraya Sriwong.

Chayanit sudah memiliki pengalaman dalam Kejohanan Maybank 2024 apabila menghabiskan kedudukan di tangga ke-68 selepas melepasi pusingan kelayakan di tempat kedua pada tahun lalu.

Antara pencapaian terbaiknya termasuk empat kali menduduki ranking 10 teratas dalam siri kejohanan di Thailand dan Chinese Taipei.

Rakan senegaranya, Archiya pula baru berusia 16 tahun dan ini kali pertama mengharungi pusingan kelayakan Kejohanan Maybank.

Ketika ini, pemain remaja itu berada di kedudukan 41 ranking golf amatur dunia (WAGR) dan sudah memenangi tujuh kejohanan amatur antara 2022 dan 2024 termasuk Terbuka Amatur Wanita Thailand.

Selain Thailand, Indonesia juga menghantar enam pemain termasuk Ida Ayu Indira Melati yang merupakan pemenang pusingan kelayakan kejohanan itu pada tahun lalu.

Seorang lagi tumpuan dari seberang adalah Kristina Yoko yang merangkul tempat ketiga dalam pusingan kelayakan Kejohanan Maybank 2024 dan mencatat tempat antara 10 terbaik dalam dua kejohanan di Thailand pada tahun ini.

Secara keseluruhannya, seramai 69 pemain dari lima negara Asia Tenggara akan berjuang di lapangan West KLGCC yang menawarkan cabaran terhadap semua peserta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram