
PERSATUAN Golf Malaysia (MGA) menerusi inisiatif Women in Golf Charter (WIGC) melancarkan kempen amal Swing for Pink, bagi membantu golongan wanita B40 mendapatkan saringan awal kanser payudara.
Kempen berskala nasional itu disasarkan untuk mengumpul dana Tabung Diagnostik Kanser Payudara B40, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), sekali gus memberi akses kepada ujian seperti mamogram, biopsi dan ultrasound secara percuma atau berkos rendah.
Pengerusi WIGC MGA, Datuk Merina Gan berkata, kerjasama strategik bersama PPUM merupakan langkah signifikan dalam usaha menyelamatkan nyawa melalui pengesanan awal.
BACA LAGI: Dua harapan golf wanita mampu sumbang pingat di Sukan SEA — Presiden MGA
BACA LAGI: Ibu muda kurang dapat sokongan, proses menyusukan anak boleh cetus tekanan mental — Pakar
“Ramai wanita B40 tidak menjalani pemeriksaan kerana kekangan kewangan dan kurang kesedaran. Melalui kempen ini, mereka berpeluang menjalani saringan awal secara mampu milik,” katanya.
Pengerusi WIGC MGA, Datuk Merina Gan
Jelas beliau, Swing for Pink bukan sekadar acara sukan tetapi satu gerakan untuk membawa perubahan kepada sistem kesihatan masyarakat berpendapatan rendah.
"Kempen ini juga dapat membantu golongan kurang berkemampuan yang sebelum ini tidak mampu menjalani pemeriksaan.
"Seperti yang saya katakan tadi, kempen kali ini bukan sekadar untuk sukan tetapi untuk harapan, kesihatan dan kemanusiaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas sidang media majlis pelancaran kempen amal Swing for Pink di The Mines Resort & Golf Club, Selangor pada Selasa.
Turut hadir pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Tan Sri Anwar Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Klinikal (Pembedahan) PPUM, Prof Madya Dr Azura Mansor.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Klinikal (Pembedahan) PPUM, Prof Madya Dr Azura Mansor menyifatkan inisiatif itu sebagai pemacu ke arah akses kesihatan yang lebih adil dan saksama.
“Pengesanan awal adalah kunci menyelamatkan nyawa. Ramai wanita terpaksa menunggu kerana kekangan kos.
"Kempen ini menjadi jambatan penting bagi memastikan rawatan boleh dimulakan lebih awal,” katanya.
Prof Madya Dr Azura Mansor
Untuk makluman, Kempen Swing for Pink akan memuncak dengan Kejohanan Golf Amal pada 25 September 2025 di The Mines Resort & Golf Club, dengan semua kutipan disalurkan sepenuhnya ke tabung PPUM.
Kempen ini turut mendapat dokongan padu sektor korporat termasuk Yayasan Sultan Azlan Shah, Hong Leong Assurance dan PMI Berhad selaku penaja utama.
Turut tampil sebagai rakan sokongan ialah Cuckoo Malaysia, Chen Furniture, Amanra Foundation, Weststar Group, Mahumas Sdn Bhd, Poh Kong, CIT Travel, ReGen Hospital, Posture Align dan Kibana Japan.
Menambah daya tarikan, BAuto Management menaja sebuah kereta Mazda CX-30 2.0G bernilai RM139,000 sebagai hadiah Hole-in-One, menjadikan kejohanan itu lebih eksklusif dan berprestij.
Orang ramai digesa menyokong kempen tersebut dengan membuat sumbangan di stesen minyak BHPetrol terpilih, menyertai kejohanan amal atau menyebarkan mesej kesedaran melalui platform media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram