
SAINGAN Kejohanan Golf Amatur Terbuka Wanita (LAO) edisi ke-48 yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa di Kelab Golf Diraja Selangor (RSGC), Kuala Lumpur melabuhkan tirainya selepas kesemua peserta menampilkan aksi bersemangat.
Kejutan dilakar dalam kejohanan terbabit apabila pemain muda dari Indonesia, Bianca Naomi Laksono tidak berdepan sebarang masalah untuk mengungguli empat kategori dipertandingkan.
Dalam kategori nett, pemain muda itu perlu bersaing dalam pusingan play-off selepas jumlah pukulannya terikat dengan Samantha Dizon dari Filipina, iaitu sebanyak 217 pukulan.
BACA LAGI: Tawar habuan khas buat jaguh Asean, LAO ke-48 buru peserta lebih elit
BACA LAGI: Malga komited perluas akses golf kepada wanita luar bandar, pemain muda
Bianca (kanan) membawa pulang Trofi Tuanku Bahiyah dalam saingan LAO 2025.
Bianca tidak berdepan masalah untuk menundukkan Samantha dalam pusingan play-off di lubang 18 (par 4), sekali gus membawa pulang Trofi Tuanku Bahiyah.
Walaupun tewas, Samantha dapat melayakkan diri ke pusingan kelayakan Maybank Championship ASEAN Qualifier 2025, menambah satu lagi pencapaian membanggakan buat dirinya.
Tempat ketiga menjadi miliki bakat tempatan, Charlayne Chong Shin Ling yang kali pertama menyertai kejohanan itu.
Bintang muda Indonesia itu sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam saingan Trofi Toh Puan Norashikin untuk kategori nett selepas mencatatkan skor 131, dipisahkan 1 mata daripada pemain Malaysia, Choi Quinn-Cie yang menduduki tempat kedua (skor 132).
Tidak terhenti di situ, Bianca mengejutkan ramai pihak dalam acara berkumpulan apabila dia bersama-sama rakan senegara, Sania Talita Wahyudi, Sarisa Pojanalai, Angel Thongaram, dan Iris Mehri Muslu untuk menjulang Piala Datin Azian.
Manakala untuk Piala Clarissa Lee (kategori nett berpasukan), gandingan Bianca bersama Sania, Puttida Thongphen dan Veawdao Junta muncul sebagai juara.
Ini merupakan satu pencapaian cukup baik buat peserta berusia 19 tahun itu yang juga pernah bertanding dalam saingan golf peringkat amatur tersebut sambil meletakkan kejayaan kali ini lebih bermakna buatnya.
"Kira-kira dua minggu lalu, saya ada menang di Indonesia (Medco-Pokok Indah International Amateur Golf). Jadi, ini merupakan kemenangan kedua saya tahun ini.
"Pencapaian tahun ini (dalam LAO) adalah lebih baik berbanding tahun lalu dengan persembahan saya jauh lebih baik. Jadi, untuk saingan LAO, ia merupakan rekod terbaik apabila menjuarai Trofi Tuanku Bahiyah," katanya.
Kejohanan berprestij itu mengumpulkan pemain amatur dari seluruh Asia yang menjadikannya antara tumpuan utama peminat sukan itu kerana secara tidak langsung, ia memberi peluang kepada mereka menonjolkan bakat masing-masing.
Ini kerana pemain tempatan seperti Charlayne dan Quinn-Cie turut tampil bersaing dengan ia meningkatkan lagi tahap kompetitif pertandingan terbabit.
Kejohanan ini turut menyaksikan detik manis apabila Nur Diana Syafiqah Abdullah dari Malaysia mencatatkan hole-in-one di Lubang 4, sekali gus membawa pulang hadiah tajaan AirAsia.
Namun, meskipun persiapan terbaik sudah ditonjolkan, masing-masing masih perlu mengakui kebolehan sebenar Bianca yang tidak berdepan sebarang masalah dalam kesemua empat kategori disertai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram