
BUAT julung kalinya, dua nama besar oraganisasi kebajikan, Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) berganding bahu menganjurkan Kejohanan Golf Amal YSB-MRC 2025 bagi mengumpul dana untuk meneruskan usaha bantuan kemanusiaan dan program kemasyarakatan di seluruh negara.
Kejohanan yang memasuki edisi ke-28 itu berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam baru-baru ini dengan menyaksikan penyertaan lebih 80 pemain golf termasuk wakil dari agensi korporat, penderma individu, wakil kerajaan dan rakan-rakan strategik yang turut serta dengan komitmen untuk membantu masyarakat yang memerlukan.
Pengerusi YSB, Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah, kerjasama dengan BSSM dalam menganjurkan kejohanan golf amal itu dibuat memandangkan kedua-dua organisasi berkongsikan objektif sama untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama.
BACA LAGI: 'Peraturan tetap peraturan', kelab golf respons dakwaan wanita jadi mangsa diskriminasi
"Dengan usia YSB yang sudah memasuki hampir tiga dekad dan BSSM kini sudah beroperasi selama 77 tahun, beta sebagai pengerusi untuk kedua-dua organisasi, berbangga dapat melihat kerjasama penuh makna ini.
"Kedua-dua pertubuhan ini mempunyai sejarah panjang dalam membantu masyarakat dan menjalankan misi kemanusiaan. Kejohanan ini menunjukkan komitmen kami untuk terus membantu golongan yang memerlukan di setiap lapisan masyarakat.
Lebih 80 pemain menyertai Kejohanan Golf Amal YSB-MRC 2025. — Facebook YSB
"Objektif utama kejohanan ini adalah mengumpul dana bagi menyokong program komuniti YSB dan BSSM," titah baginda ketika majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut.
Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, hasil sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada bidang keutamaan kedua-dua organisasi termasuk bantuan kecemasan, promosi kesihatan serta pembangunan daya tahan komuniti.
Titah baginda, antara inisiatif yang bakal mendapat manfaat termasuk respons bencana, perkhidmatan klinik kesihatan bergerak, bantuan makanan, sokongan pendidikan dan program komuniti khususnya untuk kumpulan B40, migran, warga emas, komuniti Orang Asli dan komuniti rentan.
"Sumbangan ini akan membantu memperkukuh dan meluaskan lagi usaha kemanusiaan yang memberi manfaat kepada ribuan rakyat Malaysia setiap tahun," titah baginda.
Tunku Puteri Intan Safinaz (tengah) bertitah, ini merupakan kali pertama YSB dan BSSM bergandingan menganjurkan kejohanan golf amal bagi mengumpul dana. — Facebook YSB
Turut dilancarkan dalam majlis tersebut ialah penerbitan majalah istimewa bertajuk The Homage to DYMM Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mengupas perjalanan hidup Almarhum sebagai seorang raja, pemimpin, bapa dan insan berjiwa rakyat.
YSB yang ditubuhkan pada tahun 1996, kini memasuki tahun ke-28 penganjuran kejohanan golf amal, satu usaha berterusan yang telah menjadi platform penting dalam menyokong pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat. Sepanjang tiga dekad, kejohanan ini telah berjaya membantu menyokong pelbagai inisiatif kemanusiaan dan kebajikan masyarakat.
BSMM pula telah beroperasi selama 77 tahun di bawah Akta Parlimen Malaysia 540, kekal komited sebagai badan auxilari kerajaan dalam bidang kemanusiaan.
Dengan rangkaian sukarelawan yang meluas, BSMM aktif menjalankan operasi respons bencana, mempromosikan kesihatan awam serta melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan di peringkat nasional dan serantau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram