KEJOHANAN Golf Maybank 2024 sekali lagi menemui peminat di Malaysia apabila akan membuka tirainya tidak lama lagi.
Kejohanan berprestij yang diiktiraf Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) itu bermula 24 hingga 27 Oktober 2024 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Dengan hadiah lumayan yang bernilai AS$3 juta (kira-kira RM14.34 juta) untuk juara kejohanan, sudah pasti setiap peserta akan mempamerkan bakat dan keazaman yang tinggi untuk merebut gelaran tersebut.
BACA LAGI: Clean sheet berdepan Nepal, ketangkasan keeper Sabah bukti layak jadi GK kebangsaan
BACA LAGI: [VIDEO] Import Thailand suntikan semangat Sabah Mountaineers, pasang impian layak ke STL Premier
Pemain golf Malaysia yang menempah tiket ke Kejohanan Golf Maybank 2024, Liyana Durisic.
Aksi di KLGCC bakal menghidangkan persembahan cukup sengit kerana ada daripada mereka yang memiliki pengalaman beraksi di venue berkenaan selain memahami cabaran dihadapi.
Menariknya kejohanan berprestij tersebut, lima pemain ASEAN sudahpun mengesahkan penyertaan masing-masing.
Lebih manis lagi, dua pemain Malaysia, Liyana Durisic dan Nur Durriyah Damian turut akan bersaing dalam kejohanan tersebut bersama dengan Ida Ayu Indira Melati Putri dan Kristina Natalia Yoko (Indonesia) serta Chayanit Wangmahaporn dari Thailand.
Liyana dan Nur Durriyah masing-masing mendapat ketiga dan kelima ketika melalui pusingan kelayakan LPGA yang diadakan di Kelab Golf Kuala Lumpur di sini yang berakhir hari ini.
Pemain golf negara yang melepasi pusingan kelayakan ASEAN, Nur Durriyah Damian.
Selain itu, LPGA kali ini menjadi tumpuan berikutan penglibatan pemain di ranking teratas dunia terutamanya dari ASEAN dan juga Asia antaranya pemain nombor satu dunia, Nelly Korda dari Amerika Syarikat.
Bukan itu sahaja, kejuaraan tersebut turut disertai pemenang pingat emas Olimpik 2024, Lydia Ko dari New Zealand, naib juara Atthaya ‘Jeeno’ Tittikul tahun lalu dari Thailand, pemain golf wanita terkemuka Jepun, Ayaka Furue dan pemain Amerika yang sedang meningkat naik, Rose Zhang.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pusingan kelayakan LPGA merangkumi komitmen mereka untuk menyediakan peluang untuk memperkasakan individu di seluruh rantau Asean.
“Tahniah kepada pemenang dan kami berharap kejayaan mereka terus memberi inspirasi kepada bakat muda di seluruh rantau untuk berusaha kecemerlangan di dalam dan luar padang,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram