
PEMERHATI sukan tanah air, Afiq Rowley berpandangan bahawa pertukaran status pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nathaniel Shio Hong Wan ke skuad JDT II yang kini bersaing dalam Liga A1 Semi Pro adalah satu keputusan bersifat sementara dan bukan petanda dia disisihkan secara kekal daripada skuad utama.
Afiq melihat bahawa perkara itu sebagai langkah sementara bagi memberi ruang pemulihan dan penyesuaian semula selepas kecederaan.
Menurut Afiq, pemain berdarah kacukan itu sedang melalui fasa pemulihan selepas mengalami kecederaan musim lalu, yang menyebabkan beliau banyak tersisih daripada perlawanan kompetitif bersama skuad utama.
BACA LAGI: Natxo Insa muncul 'kuda tertua' Liga Super, ada ex 'teammate' sudah berubah angin
BACA LAGI: Bukan 'bolot' Liga A1, cuma 2 bintang senior buktikan JDT ada pelan sulit demi Harimau Malaya
Hong Wan (kiri) kini beraksi bersama skuad muda JDT II dalam saingan Liga A1 Semi Pro. — JST
"Pada saya ianya bersifat sementara. Kita kena faham Hong Wan pulih dari kecederaan musim lalu dan banyak tersisih daripada perlawanan bersama skuad utama.
"Ini mungkin memberi ruang kepada beliau untuk sesuaikan diri kembali," katanya kepada Majoriti.
Musim lalu, Hong Wan hanya mencatatkan 13 penampilan bersama JDT tanpa sebarang jaringan atau bantuan gol, satu angka yang menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya di bahagian tengah pasukan juara bertahan Liga Super itu.
Bagaimanapun, Afiq menegaskan bahawa statistik tersebut tidak boleh dijadikan kayu ukur utama prestasi pemain tersebut, memandangkan faktor kecederaan yang dihadapi.
"Tidak juga. Dia cedera. Mana-mana pemain pun ada situasi tak menjadi. Tapi saya rasa ini hanya sementara sahaja," tambahnya.
Kali terakhir Hong Wan beraksi adalah pada 12 September 2024 ketika menentang Penang FC dalam saingan Liga Super.
Hong Wan hanya tampil sebanyak 13 perlawanan musim lalu bersama JDT. — JST
Sejak itu, dia tidak lagi diturunkan dalam sebarang perlawanan rasmi bersama skuad utama, sekali gus mencetus spekulasi bahawa beliau sedang 'dibekukan' daripada perancangan taktikal JDT.
Namun bagi Afiq, perkara itu lebih kepada strategi penyesuaian semula.
"Penyesuaian kembali. Buat apa beri dia terus beraksi jika dirinya masih sukar sesuaikan diri dalam taktikal semasa," ujarnya.
Ditanya apakah langkah terbaik yang perlu diambil oleh Hong Wan untuk kembali menempatkan diri dalam kesebelasan utama JDT yang memiliki persaingan sengit di posisi tengah, Afiq menyatakan segalanya bergantung kepada pemain itu sendiri.
"Bergantung kepada pemain itu sendiri sama ada akan bangkit dan berevolusi dengan suasana baharu atau kekal statik tanpa perkembangan," katanya.
Dengan sistem pembangunan pemain yang tersusun di JDT, tidak mustahil buat Hong Wan untuk bangkit semula, namun masa akan menentukan sama ada beliau masih relevan dalam skuad juara Liga Super itu.
Untuk rekod, selain Hong Wan, skuad JDT II turut dibarisi beberapa pemain senior antaranya Junior Eldstal, Mohamadou Sumareh dan Ibrahim Manusi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram