Natxo Insa muncul 'kuda tertua' Liga Super, ada ex 'teammate' sudah berubah angin


  • Podium
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Farizal (kiri) dan Aidil (kanan) kini memilih karier baharu sebagai pundit dan pembantu jurulatih. — FAM

DALAM dunia sukan, peralihan kerjaya selepas bersara adalah lumrah yang harus dilalui oleh setiap atlet.

Bagi pemain bola sepak tanah air, keputusan untuk menggantung but bukan bermakna mereka mengakhiri hubungan dengan sukan yang telah menjadi sebahagian besar daripada hidup mereka.

Sebaliknya, ramai yang memilih untuk terus menyumbang dalam bidang yang sama, namun dalam peranan yang berbeza.

BACA LAGI: Dulu famili sekarang 'musuh' atas padang, Victor Andrag dikesan hadir 'usha' aksi Sang Kenari

BACA LAGI: Pemain warisan di Liga A1: Peluang terbaik matangkan ‘ubi muda’, cuma mesti ada yang tak selesa

Nama-nama besar seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali kini tampil sebagai pundit sukan, berkongsi ilmu serta pengalaman mereka bersama peminat menerusi kaca televisyen dan pelbagai platform media.

Peralihan itu membuktikan bahawa bekas pemain masih mampu memberi sumbangan besar dalam pembangunan bola sepak negara, sama ada dalam bidang kejurulatihan, analisis sukan mahupun pengurusan.

Dalam masa sama, kisah pemain veteran kelahiran Sepanyol, Natxo Insa turut mencuri perhatian, pada usia 39 tahun, beliau kini merupakan pemain tertua dalam saingan Liga Super.

Meskipun kontraknya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) berakhir pada 31 Mei lalu, kelibat namanya masih tersenarai dalam skuad Harimau Selatan bagi musim 2025/26, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai masa depannya.

Natxo yang juga bekas pemain Valencia dan pernah menyarung jersi Harimau Malaya membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus menyumbang di atas padang. 

Menyedari potensi besar yang dimiliki oleh bekas-bekas pemain ini, Majoriti menyenaraikan tiga lagi bintang bola sepak tanah air yang kini memilih haluan baharu dalam kerjaya mereka selepas menggantung but, namun tetap setia dalam dunia bola sepak yang telah membesarkan nama mereka.

1. Aidil Zafuan

Bekas kapten JDT, Aidil Zafuan Abdul Razak terus kekal bersama skuad Harimau Selatan apabila menyertai barisan kejurulatihan kelab selepas menamatkan karier sebagai pemain.

Aidil yang beraksi lebih sedekad bersama JDT, memilih untuk terus berbakti kepada kelab tersebut dan sepanjang kariernya bersama Harimau Selatan, beliau mencatatkan 174 penampilan, menjaringkan lapan gol dan tiga bantuan jaringan.

Selain menggalas tugas sebagai staf kejurulatihan JDT, Aidil turut diberi kepercayaan untuk menyumbang di peringkat kebangsaan apabila dilantik sebagai pembantu jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B23) Harimau Malaya.

Aidil Zafuan (kanan) kini merupakan pembantu jurulatih di skuad utama JDT. — JOHOR Southern Tigers

Sepanjang karier profesionalnya, Aidil meraih pelbagai kejayaan termasuk 11 gelaran Liga Super, enam Piala Malaysia, empat Piala FA serta kejuaraan Piala AFC 2015.

Penyertaan Aidil dalam bidang kejurulatihan dilihat sebagai langkah tepat bagi terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak tanah air melalui pengalaman luas yang dimilikinya.

2. Farizal Marlias

Penjaga gol berpengalaman tanah air, Farizal Marlias kini membuka lembaran baharu dalam dunia bola sepak apabila diumumkan sebagai salah seorang pundit baharu untuk siaran Liga Super 2025/26 bersama Astro.

Farizal yang tidak lagi bersama JDT selepas sembilan musim gemilang, bakal bergandingan dengan beberapa nama besar bola sepak tanah air termasuk Akmal Rizal Ahmad Rakhli dalam pasukan pengulas.

Meskipun tidak lagi beraksi di atas padang, peranan sebagai pundit tetap membolehkan Farizal kekal rapat dengan dunia bola sepak, satu transisi yang semakin menjadi pilihan bekas pemain profesional.

Farizal (kiri) akan disertai Akmal Rizal sebagai dua wajah baharu dalam barisan pundit baharu Liga Super 2025/26.

Farizal dikenang sebagai antara penjaga gol terbaik era moden, dengan kemuncak kariernya bersama JDT apabila meraih pelbagai kejuaraan termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA dan Piala AFC 2015.

Dengan pengalaman luas serta reputasi yang disegani, kemunculan Farizal di pentas pengulas dijangka memberikan nilai tambah kepada liputan bola sepak tempatan, selain memberi inspirasi kepada generasi pemain dan peminat.

3. Hariss Harun

Bekas kapten JDT, Hariss Harun sebelum ini mencuri perhatian peminat bola sepak apabila dilaporkan menceburi kerjaya sebagai ejen hartanah di negara kelahirannya, Singapura.

Pada usia 35 tahun, Hariss memilih untuk merancang masa depannya di luar padang dengan memulakan kerjaya dalam bidang hartanah, selari dengan fasa penghujung kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

Hariss difahamkan menceburi bidang tersebut pada penghujung September 2023 dengan seramai 4,049 pengguna aplikasi tersebut sudah mengikuti perkembangan bek Lion City Sailors itu.

Hariss Harun (tengah) menceburi bidang perniagaan meskipun masih aktif beraksi.

Untuk rekod, Hariss meninggalkan JDT pada 2021 selepas tujuh musim beraksi bersama kelab tersebut dan sepanjang bersama Harimau Selatan, dia mencatatkan 197 penampilan dengan 15,367 minit permainan, menjaringkan 12 gol serta melakukan lima bantuan jaringan dan sering menjadi tonggak utama pasukan.

Langkah Hariss dianggap sebagai contoh bijak dalam kalangan pemain bola sepak yang merancang masa depan selepas bersara tanpa melupakan kecemerlangannya di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram