Peguam sahkan ada kesan cedera pada mayat Zara Qairina selepas bedah siasat


  • Massa
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Peguam keluarga mengesahkan wujud kecederaan pada jasad Zara Qairina selepas proses bedah siasat dilakukan pada Ahad.

PEGUAM yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengesahkan wujud kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu selepas proses bedah siasat dijalankan pada Ahad.

Peguam Shahlan Jufri berkata, pengesahan itu dibuat hasil pemerhatiannya sendiri sepanjang proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, Sabah.

Menurutnya, beliau berada di bilik bedah siasat selama lapan jam tanpa makan dan minum, semata-mata untuk memerhati keseluruhan prosedur yang dijalankan oleh pasukan forensik.

BACA LAGI: Peguam keluarga nafi audio tular adalah jeritan suara Zara Qairina

BACA LAGI: 'Teruskan berjuang dan jangan berhenti berharap', bapa Zulfarhan titip kata-kata semangat buat keluarga Zara Qairina

"Sudah tentu ada kecederaan, memang ada kecederaan. Kecederaan seperti yang kamu tahu di media sosial, begitulah.

"Yang selebihnya saya tidak boleh beritahu kerana masih dalam siasatan dan ia sulit. Saya tidak begitu ingat jumlah kecederaan, tetapi memang ada patah, memang ada kecederaan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa proses bedah siasat berjalan dengan telus tanpa campur tangan pihak luar.

“Proses itu saya berpuas hati kerana tidak ada campur tangan mana-mana pihak, hanya mereka yang terlibat.

“Memang proses bedah siasat itu berjalan dengan telus, integriti sangat tinggi dan lancar,” tegasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram