
DUA bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Junior Eldstal dan Mohamadou Sumareh dilaporkan menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 bersama JDT II.
Junior dan Sumareh masing-masing bakal menyarung jersi bernombor 90 dan 62.
Kehadiran kedua-dua pemain itu dijangka memberi impak positif kepada JDT II dalam usaha mengukuhkan kedudukan pasukan dalam liga tersebut.
BACA LAGI: Dulu famili sekarang 'musuh' atas padang, Victor Andrag dikesan hadir 'usha' aksi Sang Kenari
Junior Eldstal merupakan pemain yang cukup berpengalaman dalam saingan liga bola sepak tanah air. — Facebook/JST
Nama Junior dan Sumareh bukan asing dalam arena bola sepak tanah air, setelah menjadi tonggak utama JDT selama ini dengan pencapaian yang cukup membanggakan.
Namun, sasaran utama kehadiran mereka dalam Liga A1 dikatakan bukan untuk mengungguli carta liga, tetapi lebih kepada membantu pembangunan pemain muda serta memberi peluang kepada diri mereka mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Hal ini kerana, kedua-dua pemain berkenaan kini jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama JDT kerana saingan sengit daripada pemain warisan dan import yang berkualiti tinggi.
Langkah itu juga dilihat sebagai strategi bagi Junior dan Sumareh untuk kekal cergas dan meningkatkan prestasi mereka agar dapat kembali mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Sumareh bakal beraksi di Liga A1 bersama barisan pemain muda JDT II. — Facebook/JST
Kedua-duanya dijangka berpeluang beraksi dalam perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Singapura dan Palestin pada bulan September, sebagai persiapan menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos pada Oktober nanti.
Dengan pendaftaran mereka dalam Liga A1, Junior dan Sumareh dijangka memperoleh lebih banyak peluang beraksi berbanding jika mereka terus kekal di JDT yang mempunyai persaingan ketat di posisi mereka.
Ini sekali gus memberi harapan agar kedua-dua pemain tersebut dapat merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.
Namun, persoalan yang masih terlintas adalah sama ada kedua-dua pemain tersebut akan mendapat tempat dalam skuad kebangsaan memandangkan sudah terlalu ramai pilihan tersedia untuk Peter Cklamovski.
Malah, memandangkan Liga A1 Semi Pro hanya berstatus amatur, timbul persoalan sama ada ia sudah memadai untuk membuktikan Junior dan Sumareh benar-benar bersedia kembali ke pentas antarabangsa atau tidak?. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram