
PIHAK Awesome TV mengesahkan bahawa satu tindakan undang-undang telah difailkan terhadap tiga pelawak selebriti tempatan susulan penyebaran kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik melalui akaun media sosial masing-masing.
Tiga individu yang dinamakan dalam saman tersebut ialah Mohamad Amirullah Azmi atau lebih dikenali sebagai Amir Raja Lawak, Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh) dan Abu Musarrif Abu Bakar (Abu Mamu).
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, ketiga-tiga mereka didakwa telah menyebarkan dakwaan tidak berasas yang menuduh pihak Awesome TV gagal melunaskan bayaran terhadap penglibatan mereka dalam beberapa program terbitan yang disiarkan di saluran berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Anak-anak tak selesa, warga asing santai ‘bolot’ taman permainan di Melaka
Awesome TV fail saman fitnah terhadap Amir Raja Lawak, Mamak Puteh dan Abu Mamu.
"Pihak Awesome TV ingin menjelaskan bahawa semua program yang disiarkan di saluran kami diterbitkan sepenuhnya oleh syarikat produksi luar (production house) dan sebarang urusan kontrak serta pembayaran artis adalah tanggungjawab penuh pihak produksi berkenaan.
"Kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh ketiga-tiga individu tersebut telah menjejaskan imej serta reputasi Awesome TV," katanya.
Tambah kenyataan tersebut, isu tersebut turut dibawa ke Parlimen oleh Syerleena Abdul Rashid (Ahli Parlimen Bukit Bendera) tanpa sebarang pemeriksaan dan fakta yang lebih teliti, sekali gus mengundang salah faham dan memberi gambaran yang tidak tepat terhadap pihak Awesome TV.
"Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya berlaku adil menyiasat fakta sebelum mengeluarkan kenyataan yang tidak benar.
"Justeru itu, pihak Awesome TV telah mengarahkan firma guaman Shafie & Co untuk memfailkan saman berunsur fitnah terhadap mereka bagi melindungi integriti Awesome TV.
"Awesome TV memandang serius sebarang tuduhan yang tidak berasas dan sebarang usaha untuk mencemarkan nama baik Awesome TV," tambahnya.
Susulan kenyataan rasmi pihak Awesome TV berhubung tindakan undang-undang terhadapnya, pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak tampil memberi respons balas menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Khamis.
"Alhamdulillah. Terima kasih Awesome TV kalau ini harganya untuk penat lelah saya dan kami. Terima kasih banyak-banyak," tulisnya.
Dalam hantaran sama, Amir memaklumkan beliau tidak sempat membalas mesej dan panggilan kerana sibuk termasuk menguruskan bapanya yang dimasukkan ke unit kecemasan akibat luka jahitan terbuka.
Beliau juga menjelaskan bahawa telefon peribadinya mengalami kerosakan, menyebabkan kad SIM tidak dapat diakses buat sementara waktu.
"Kalau ada wartawan atau sesiapa yang cuba hubungi, saya minta maaf kerana tak dapat jawab buat masa ini. Bila telefon dah elok semula, saya akan respons," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram