
MANCHESTER United kelihatan sudah bersedia dengan skuad bagi musim depan selepas membawa masuk tiga rekrut baharu yang kesemuanya akan beraksi dalam barisan serangan.
Rekrut yang menjadi pihak pengurusan ialah Matheus Cunha, Bryan Mbuemo dan Benjamin Sesko yang kesemuanya menelan kos perpindahan mencecah €225.7 juta (RM1.1 bilion).
Pelaburan dibuat itu membuktikan kesungguhan kelab untuk memberi sokongan penuh buat pengurus, Ruben Amorim yang pada awalnya bergelut dalam musim pertama selepas tidak dapat membawa masuk pemain dimahukannya.
BACA LAGI: Hojlund dilabel penyerang 'rosak', masa depan bersama Man United makin malap
Dari kiri: Mbeumo, Sesko dan Cunha akan memikul peranan dalam jentera serangan Manchester United.
Namun, dalam usaha memastikan skuad The Red Devils seimbang, Manchester United perlu melepaskan sebahagian pemain dalam jentera serangan kerana terlalu ramai pemain di posisi itu.
Antara yang menjadi tumpuan Amorim ialah penyerang antarabangsa Denmark, Rasmus Hojlund selepas dia berkali-kali dikaitkan dengan perpindahan keluar dari kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) terbabit.
Dia yang dibawa masuk dua musim lalu masih gagal memberi impak selepas hanya mencatatkan 26 gol dan enam bantuan jaringan dalam 95 penampilan dengan pulangan tersebut cukup mengecewakan.
Gaya permainannya juga tidaklah begitu membanggakan kerana dia terlalu pasif dalam kotak penalti lawan sehingga menyukarkan rakan sepasukan untuk menghidangkan peluang keemasan buatnya.
Jadi, dalam usaha meraih minit permainan mencukupi, pemain berusia 22 tahun itu perlu mencari destinasi baharu segera dengan jendela perpindahan musim panas akan ditutup tidak lama lagi.
Berdasarkan laporan terkini, gergasi bola sepak Itali, AC Milan difahamkan bersedia untuk menerima Hojlund dengan tawaran untuk mendapatkannya secara pinjaman sudah dibuat.
Agensi media antarabangsa menyatakan kelab itu menawarkan yuran mencecah €4.6 juta (RM22.8 juta) yang akan membuatkan pihak pengurusan Manchester United menimbangkannya terlebih dahulu.
Selain itu, AC Milan meletakkan harga serendah €45 juta (RM222.3 juta) untuk mengekalkannya secara tetap selepas pengakhiran musim sekiranya pemain berkenaan menyerlah sepanjang dipinjamkan.
Manchester United difahamkan masih belum memberi sebarang respons terhadap tawaran tersebut, namun mereka perlu segera berbuat demikian jika mahu memastikan Hojlund meninggalkan kelab itu segera. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram