Tergugat agaknya tempat dirampas Benjamin Sesko, Hojlund akhirnya nampak ‘berfungsi’ dengan gol pramusim


  • Podium
  • Khamis, 31 Jul 2025

Hojlund menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Bournemouth dalam aksi pramusim di Chicago.

PENYERANG muda Manchester United, Rasmus Hojlund menegaskan komitmennya untuk terus berjuang merebut tempat dalam kesebelasan utama walaupun kelab itu kini giat memburu penyerang baharu menjelang penutupan jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain antarabangsa Denmark itu menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Bournemouth dalam aksi pramusim di Chicago, Amerika Syarikat namun pengurus, Ruben Amorim tidak dapat memberikan jaminan mengenai masa depan Hojlund di kelab itu.

"Saya rasa perkara paling penting untuk saya ialah terus bekerja keras dan kekal fokus. Rancangan saya sangat jelas, saya mahu kekal dan berjuang mendapatkan tempat saya, apa pun yang berlaku," katanya selepas perlawanan tersebut.

BACA LAGI: Man United buktikan faktor sejarah mampu tarik pemain ternama walaupun dalam 'zaman gelap'

BACA LAGI: Rezeki Man United bakal ikat penyerang murah lepas gagal pikat bintang buruan

United dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan sama ada Benjamin Sesko dari RB Leipzig atau Ollie Watkins dari Aston Villa, selepas musim lalu yang mengecewakan menyaksikan mereka hanya menjaringkan 44 gol dalam 38 perlawanan liga dan menamatkan saingan di tangga ke-15.

Hojlund sendiri belum mencapai tahap prestasi yang diharapkan sejak menyertai kelab itu dengan harga £72 juta (RM439.2 juta) dari Atalanta dua tahun lalu selepas dia hanya merekodkan 14 gol dalam 62 penampilan liga.

Walau bagaimanapun, Hojlund menyambut baik persaingan untuk tempat dalam pasukan sekiranya penyerang baharu akan menyarung jersi Man United pada jendela perpindahan nanti. 

Pengendali Man United, Ruben Amorim. 

"Persaingan tidak menjadi masalah bagi saya, malah ia membantu saya menjadi lebih tajam. Saya rasa berada dalam prestasi terbaik dan mengalu-alukan apa sahaja cabaran yang datang. 

"Ia bukan sahaja meningkatkan prestasi individu, tetapi juga mencabar seluruh pasukan untuk menjadi lebih baik," tambahnya lagi.

Musim lalu menyaksikan United bergelut di hadapan pintu gol dan kegagalan mendapatkan Liam Delap serta Hugo Ekitike telah memaksa kelab berkenaan menyusun semula senarai sasaran mereka. 

Sementara itu, Amorim mengakui Hojlund menunjukkan peningkatan, tetapi pada masa sama mengakui masa depannya masih belum dapat dipastikan.

Sesko berada dalam radar Man United.

"Saya sangat gembira dengan Rasmus. Dia mula menjaringkan gol dan semakin serasi dengan pasukan. Tapi seperti semua orang tahu, jendela perpindahan masih belum ditutup, dan saya sendiri tidak pasti apa yang akan berlaku. 

"Apa yang pasti, kami banyak terkesan musim lalu kerana kekurangan jaringan,” katanya dalam satu sidang media.

Gol-gol United dalam perlawanan menentang Bournemouth turut disumbangkan oleh Patrick Dorgu, Amad Diallo dan Ethan Williams, manakala gol saguhati lawan terhasil daripada jaringan sendiri Matthijs de Ligt. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram