Kedah beruntung main Liga A1, masih mampu pikat bekas bek Terengganu


  • Podium
  • Rabu, 30 Jul 2025

Pengalaman Diakite bersama TFC boleh membantu Kedah FA dalam menjadi pencabar sengit Liga A1 Semi Pro.

HASRAT penyokong Terengganu FC (TFC) untuk melihat kepulangan bekas tonggak pertahanan mereka, Pape Diakite berakhir dengan kecewa apabila dia secara rasmi memilih untuk menyertai Kedah FA bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro 2025-2026.

Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) pada Rabu mengumumkan ketibaan pemain berpengalaman dari Senegal itu sebagai pemain import ketiga mereka menjelang sepak mula pada Ogos ini.

Pemain berketinggian 1.94 meter berkenaan bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak tempatan setelah tampil cemerlang bersama skuad Sang Penyu dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) 2022.

BACA LAGI: Sabarlah semua, kejayaan bersama Terengganu-KDA FC buktikan Nafuzi ada magis tersendiri

BACA LAGI: 'Cuti' lama musim lalu, tonggak Selangor-JDT -Terengganu kini sedia menyumbang

Bek tengah berusia 32 tahun itu tampil dalam 19 perlawanan Liga Super 2022, yang membantu skuad Penyu muncul naib juara liga, layak ke final Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.

Kepulangan Diakite ke Liga M sebelum ini menimbulkan persoalan sama ada dia akan kembali ke Terengganu, namun minat serius daripada Kedah FA disusuli dengan tawaran projek jangka panjang yang diyakini mungkin menjadi faktor dia memilih haluan ke utara tanah air.

 

 

"Dengan pengalaman luas beraksi di peringkat antarabangsa dan fizikal yang menggerunkan, Diakite akan menjadi aset utama dalam memperkukuh benteng pertahanan musim ini.

"Karier awalnya bermula di akademi bola sepak AS Dakar Sacre-Cœur di Senegal sebelum mengembangkan bakat ke Eropah bersama AS Trenčín (Slovakia) dan Royal Antwerp (Belgium).

"Diakite kemudiannya meneruskan karier di Amerika Utara dan Asia bersama FC Edmonton (Kanada), Tampa Bay Rowdies (USA), Police Tero (Thailand), Ho Chi Minh City FC dan Sai Gon FC (Vietnam), serta beberapa kelab lain," memetik kenyataan Kedah FA.

Diakite merupakan bek tengah skuad Sang Penyu dalam kempen Liga M 2022. — Facebook/TFC

Kehadirannya ke Kedah turut dianggap langkah strategik dalam memperkukuh skuad Hijau Kuning menjelang musim baharu, tatkala pasukan itu ingin mengukuhkan reputasi mereka sebagai pencabar utama Liga A1.

Bagi penyokong Terengganu, keputusan Diakite pastinya mengecewakan lebih-lebih lagi rata-rata pengikut skuad Sang Penyu berharap bek berkenaan kembali memperkuatkan Sang Penyu sejak dua musim lepas. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram