Pemain warisan di Liga A1: Peluang terbaik matangkan ‘ubi muda’, cuma mesti ada yang tak selesa


  • Podium
  • Rabu, 06 Ogos 2025

UM Damansara United memiliki pemain warisan yang dijangka mampu membantu pasukan itu bersaing dalam saingan Liga A1. — Facebook/UMDamansaraunited

KANCAH Liga A1 Semi Pro musim 2025/2026 semakin menarik apabila kehadiran pemain warisan mula mendapat tempat dalam skuad utama.

Fenomena itu menunjukkan peningkatan daya saing liga dan minat terhadap pemain berdarah campuran yang berpotensi besar.

Antara nama terbaru yang mencuri tumpuan ialah pemain berdarah Malaysia-England, Anuar Ceesay yang kini sah menyertai pasukan Universiti Malaya (UM) Damansara United bagi menghadapi kempen musim ini.

BACA LAGI: Dulu famili sekarang 'musuh' atas padang, Victor Andrag dikesan hadir 'usha' aksi Sang Kenari

BACA LAGI: Bukan hanya Matyo, ada lagi ikon Liga Super berstatus 'otai' meriahkan Liga A1

Langkah UM Damansara membawa masuk Ceesay dilihat sebagai strategi berani untuk memperkukuh pasukan, sekali gus meningkatkan daya saing dalam liga.

Kehadiran pemain kacukan seperti Ceesay bukan sahaja menambahkan variasi taktikal, tetapi turut memberi cabaran sebenar kepada pemain tempatan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley menyifatkan perkembangan itu sebagai langkah positif ke arah memartabatkan Liga A1 sebagai pentas kompetitif yang semakin matang.

"Pendapat saya tentulah bagus kerana mampu menaikkan lagi mutu Liga A1 ke tahap lebih baik. Malah ia turut memberi faedah buat pemain-pemain warisan ini mendapat tempat selepas sukar di Liga Super," katanya kepada Majoriti.

Anuar Ceesay (kanan) merupakan rekrut baharu UM Damansara United. — Facebook/UMDamansaraunited

Menurut Afiq, perkembangan itu juga menjadi petanda jelas bahawa saingan divisyen bawahan kini semakin mendapat perhatian serius, baik daripada kelab mahupun pemain berpengalaman.

“Sudah tentu. Kalau kita lihat musim ini, semakin banyak nama besar menyertai Liga A1, termasuk pemain import yang memiliki latar belakang profesional dan meyakinkan," tambahnya.

Dari sudut impak terhadap pasukan, Afiq berpandangan bahawa kehadiran pemain warisan mampu membawa nilai tambah yang signifikan terutama dari segi pengalaman dan ketahanan mental dalam perlawanan kompetitif.

"Positifnya, mereka mampu beri nilai tambah daripada segi kekuatan buat pasukan menerusi pengalaman. Malah, pemain muda juga mampu mempelajari sesuatu daripada mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kemasukan pemain warisan harus dilihat dari sudut pembangunan bukan ancaman.

"Saya ambil pendekatan yang positif. Mereka dapat bantu perkembangan pemain menerusi sesi latihan dan perlawanan sebenar.

"Mampu memberi gambaran terbaik untuk matangkan pemain muda. Selain itu, kehadiran pemain warisan pastikan pemain muda tempatan lain tak 'selesa' dan perlu berusaha rebut kesebelasan utama," katanya.

Kehadiran pemain warisan seperti Ceesay bukan sahaja membawa nafas baharu kepada Liga A1, malah menjadi simbol perubahan dalam struktur bola sepak Liga A1 yang semakin terbuka, kompetitif dan berdaya saing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram