
MELAKA Titans disebut-sebut bakal menjadi pencabar terhebat saingan Divisyen Satu Liga Sepak Takraw (STL) musim ini selepas pasukan berkenaan membawa masuk tiga bintang kebangsaan ke skuad mereka.
Memetik laporan media sebelum ini, tiga pemain berkenaan yang berhasil diikat Melaka Titans adalah Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri).
Bagaimanapun, saingan STL belum bermula tetapi Melaka diuji apabila perejam utama mereka iaitu Azlan Alias disahkan tidak akan beraksi untuk satu tempoh sususlan kecederaan dialami pemain itu.
BACA LAGI: STL 2025 tambah lokasi GP, wujudkan sistem kelas lebih ‘drama’
Azlan Alias disahkan mengalami kecederaan serius retak tulang siku pada perlawanan final regu berpasukan Piala Asia menentang Thailand, yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-2 kepada musuh utama negara tersebut.
Lebih mengecewakan, kecederaan itu memaksa Azlan Alias dijangka memerlukan masa sekurang-kurangnya dua bulan untuk pulih sepenuhnya sebelum dapat kembali beraksi.
Dalam perlawanan menentang regu Thailand di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu, Azlan Alias mengalami kecederaan itu selepas melakukan pendaratan kurang sempurna pada set kedua.
Berikutan ketiadaan Azlan Alias, Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkongsi bahawa mereka sudah menemui pengganti untuk menggalas tugas sebagai perejam Melaka Titans.
Azlan Alias perlu berehat selama dua bulan susulan kecederaan dialaminya.
Perkembangan berkenaan dikongsikan oleh pemerhati sukan tanah air, Fadhirul Shuhaimi menerusi akauan X miliknya dengan dia mendakwa pemain yang dimaksudkan merupakan perejam import dari Thailand
"Dia merupakan satu nama yang agak besar dalam industri sepak takraw Malaysia dan antarabangsa. Jadi tunggu lah kerana bagi kami yang penting keserasian antara mereka perlu untuk menghadapi cabaran kami dalam Kumpulan D," kata Akramuddin memetik video dimuat naik Fadhirul.
Meskipun tidak mendedahkan identiti pemain berkenaan, penyokong sepak takraw optimis perejam itu sudah pernah beraksi dalam saingan STL. Jika benar, pasti tidak mempunyai masalah untuk pemain tersebut mencipta keserasian dengan tonggak lain.
Untuk rekod, Melaka diletakkan dalam saingan Kumpulan D bersama Sabah Mountaineers serta Penjara Enforces dalam saingan Divisyen 1 yang bakal bermula 28 Mei depan di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan, Pahang.
Akramuddin (tengah) bergambar bersama pemain Melaka Titans.
Untuk info, format pertandingan Grand Prix (GP) masih dikekalkan tapi musim ini STL tampil dengan sistem kelayakan baharu yang membahagikan pasukan kepada Kelas Satu dan Kelas Dua selepas peringkat kumpulan.
Hanya Kelas Satu layak merebut kejuaraan, manakala Kelas Dua bersaing untuk tempat kelima hingga kelapan, format itu dijangka meningkatkan intensiti perlawanan dan memberikan aksi mendebarkan kepada peminat.
Kejohanan STL 2025 akan membuka tirai dengan STL Divisyen 1 di Stadium Sukpa dan berakhir di Spice Arena, Pulau Pinang.
GP lain turut membabitkan venue baharu iaitu Arena 9, Nilai, Negeri Sembilan serta venue lain di Iskandar Malaysia Studios, Johor Bahru, Johor; Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur; dan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram