[VIDEO] Affifudin Razali terpaksa lupakan Piala Raja Thai, Azlan Alias disebut jadi pengganti


  • Podium
  • Jumaat, 25 Jul 2025

Skuad kuadran negara mula menunjukkan taring di pentas dunia apabila mengungguli Kumpulan A Piala Raja Thai 2025 sekali gus menempah slot ke separuh akhir.

KAPTEN skuad sepak takraw negara, Afifuddin Razali disahkan mengalami kecederaan dan tidak akan diturunkan dalam aksi separuh akhir acara kuadran lelaki saingan Piala Raja Thai 2025 menentang India.

Perkembangan itu dimaklumkan menerusi platform media sosial BOLAROTAN TV, yang menyatakan bahawa Afifuddin selaku apit kanan utama pasukan tidak dapat meneruskan aksi selepas membantu Malaysia muncul juara Kumpulan A.

“Afifuddin disahkan tidak dapat beraksi…Malaysia terpaksa bergantung kepada tiga ‘killer’ sahaja,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Piala Raja Thai: Kontroversi pengadil hujung aksi tak halang kuadran campuran kebangsaan tundukkan Vietnam

BACA LAGI: Kecederaan Noraizat tak jadi halangan, coach skuad beregu anggap misi berdepan Thailand bukan mustahil

Berita kurang gembira itu pastinya mengejutkan penyokong setia bola rotan tanah air, yang kini menanti siapakah pemain yang bakal mengisi kekosongan penting itu menjelang aksi tumpuan separuh akhir.

Antara nama yang disebut untuk menggantikan posisi apit kanan adalah Azlan Alias, pemain berpengalaman yang pernah menyinar dalam kejohanan antarabangsa sebelum ini terutamanya dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dalam acara regu.

Tambahnya, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) difahamkan telah menghantar rayuan rasmi kepada penganjur bagi membenarkan Azlan dimasukkan ke dalam skuad dan rayuan itu dilaporkan telah diluluskan.

Bagaimanapun, hantaran mengenai pengesahan tersebut telah diturunkan sementara waktu kerana pihak pengurusan dipercayai masih menunggu pengumuman rasmi daripada pihak penganjur kejohanan.

Malaysia dijadualkan menentang India dalam aksi separuh akhir pada Jumaat (25 Julai) dan pemilihan pemain pengganti Afifuddin dijangka diumumkan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram