Kempunan takhta regu berpasukan Piala Raja Thai, skuad kebangsaan perlu baiki mental, kurang buat silap


  • Podium
  • Ahad, 27 Jul 2025

Pasukan regu berpasukan jelas sukar menandingi tuan rumah dalam perlawanan akhir pada Ahad. — Facebook/PSM

PASUKAN negara terus kempunan untuk menjuarai acara regu berpasukan selepas tewas 0-2 di tangan seteru utama sukan sepak takraw, Thailand di pentas akhir Piala Raja Thai 2025.

Dalam perlawanan berlangsung pada Ahad, regu A memulakan aksi dengan langkah kiri selepas dikecewakan 12-15, 12-15 yang memberi kelebihan buat tuan rumah.

Regu tersebut kelihatan cukup meyakinkan kerana menampilkan Haziq Hairul Nizam sebagai tekong sementara Noraizat Nordin beraksi di posisi apit kanan sementara Norfaizzul Abd Razak diletakkan sebagai apit kiri.

BACA LAGI: "Pemain keletihan melampau', PSM kesal jadual Piala Raja Thai terlalu padat sampai ada yang cedera

BACA LAGI: [VIDEO] Affifudin Razali terpaksa lupakan Piala Raja Thai, Azlan Alias disebut jadi pengganti

Percubaan negara menamatkan penantian dalam acara tersebut masih belum kesampaian. Facebook/PSM

Kebangkitan yang cuba direncanakan regu B tidak kesampaian selepas pasukan negara menurukan trio terbaik, iaitu Ahmad Syahir Rosdi (tekong), Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri).

Bagaimanapun, barisan pemain itu turut menjadi mangsa kepada pihak lawan dengan kekalahan 16-17, 4-15 yang menyaksikan pasukan negara berputih mata.

Ini merupakan sebuah lagi kekecewaan skuad kebangsaan dalam acara tersebut selepas turut mengalami nasib sama dalam Piala Asia ASTAF, sekali gus menyaksikan penantian negara mengungguli regu berpasukan tidak kesampaian.

Meskipun terpaksa menelan kepahitan itu, penyokong masih berpuas hati akan persembahan pasukan negara yang tidaklah begitu mengecewakan sambil menyenaraikan beberapa aspek masih perlu diperbaiki sekiranya mahu mendominasi setiap acara.

"Regu kita bukanlah lemah sangat, cuma kita memberi ruang dan peluang untuk pasukan Thailand mengganas atas setiap kesilapan kita," kata Ijan Topspin.

Skuad regu berpasukan turut dikecewakan dalam perlawanan akhir regu berpasukan Piala Asia ASTAF. Facebook/PSM

"Aspek mentaliti pemain masih tidak cukup kuat untuk berdepan Thailand. Tidak menapa usaha lagi, sekurang-kurangnya pasukan kuadran sudah boleh tundukkan mereka," kata Azlan Masturah.

"Latih pemain supaya kuat dari segi mental, serba tidak menjadi saya lihat. Tetaoim tahniah Malaysia yang beberapa hari berada di Thailand dan tinggalkan keluarga. Cuma perlu lebih berusaha dan terus fokus," kata Muhammad Yusoff Zuyu.

Kekalahan dialami menyaksikan skuad kendalian Ahmad Jais Baharum itu sekali lagi pulang dengan gelaran naib juara selain gagal menamatkan kemarau gelaran berkenaan selama 34 tahun.

Tekanan dihadapi pasukan negara di pentas Piala Raja Thai kali ini jelas sukar diatasi kerana mereka gagal menunjukkan penguasaan seperti mana pernah dipamerkan dalam Piala Dunia ISTAF 2024 dan Piala Asia ASTAF 2025.

Ini kerana kekecewaan turut dialami ketika berdepan Jepun di separuh akhir kuadran lelaki yang sepatutnya menjadi medan terbaik untuk membawa pulang kejuaraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram