Melaka Titans bolot GP Terengganu, harapnya trio kebangsaan dipisahkan demi ‘hype’ STL


  • Podium
  • Selasa, 24 Jun 2025

Trio Melaka Titans menewaskan PDRM Defenders 2-0 dalam aksi final di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu pada Ahad. — Facebook/STL

MELAKA TITANS membuka tirai kempen Liga Sepak Takraw (STL) 2025 dengan penuh bergaya apabila muncul juara Grand Prix (GP) Terengganu selepas menewaskan PDRM Defenders 2-0 dalam aksi final di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Terengganu pada Ahad. 

Turun dengan regu utama yang cukup mantap, Mohamad Syahir Rosdi sebagai tekong, Mohamad Azlan Alias di posisi apit kanan dan Muhammad Zaim Razali selaku apit kiri menyaksikan Melaka Titans mempamerkan persembahan bertenaga untuk menundukkan PDRM Defenders dengan mata 15-8, 15-5.

Kejayaan pertama berkenaan turut membolehkan juara saingan divisyen satu STL tersebut berhasil membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, manakala PDRM Defenders menerima RM8,000 selaku naib juara.

BACA LAGI: Melaka Titans seperti 'copy ori' Penang Black Panther, Azlan Alias bangkit singkirkan Kedah

BACA LAGI: Tersungkur di laman sendiri, bekas perejam negara kongsi tekong Penang Black Panther belum cukup berpengalaman

Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) Thunders berjaya meraih tempat ketiga selepas menundukkan Selangor Pistons dalam perlawanan penentuan dengan keputusan 15-12, 17-14. 

Lebih membanggakan, Melaka Titans turut membolot kesemua anugerah pemain terbaik kejohanan dengan Syahir Rosdi dinobatkan sebagai Tekong Terbaik, Azlan Alias dipilih Apit Kanan Terbaik, dan Zaim Razali pula merangkul anugerah Apit Kiri Terbaik.

Meskipun membolot semua anugerah pada GP pertama itu, Melaka Titans tidak dapat lari daripada kritikan apabila ada segelintir penyokong melihat gabungan tiga pemain kebangsaan itu mengganggu keseronokan STL.

"Tekong nombor satu Malaysia, Azlan juga perejam nombor satu Malaysia, dan Zaim juga adalah feeder Malaysia yang sekarang berada di dalam senarai 12 org pemain Malaysia. Walaupun Zaim feeder nombor tiga atau empat Malaysia, tahap pemain kebangsaan Malaysia adalah tinggi.

"Cuba dipecahkan kesemuanya, hanya seorang sahaja pemain Malaysia. Baru kita akan dapat nilai keupayaan dan kemampuan sebenar pemain. Sejak awal saya sudah menilai untuk aksi akhir tidak seimbang di ketiga-tiga posisi pemain antara regu PDRM dengan Melaka," komen penyokong sukan bola rotan, Mohd Hisham. 

"Cuba ubah dan pisahkan mereka yang pasukan kebangsaan itu, biar rasa tercabar dengan pasukan-pasukan yang lain. Baru seronok tengok. Memang tiap-tap tahun negeri-negeri lain yang menang tapi orang yang sama," komen penyokong STL, Zam Zack. 

Untuk rekod, gabungan antara Zaim Razali, Syahir Rosdi dan Azlan Alias membuatkan para penyokong mengimbau kenangan Penang Black Panthers apabila ketiga-tiga mereka pernah bermain pada saingan STL 2016 dan 2018. 

Kemenangan tersebut bukan sahaja menghadiahkan kejuaraan sulung kepada Melaka Titans dalam saingan peringkat Premier, malah memberi isyarat jelas bahawa mereka kini antara pencabar utama yang perlu diberi perhatian dalam musim ini.

Dalam pada itu, saingan STL 2025 bakal diteruskan dengan GP kedua yang akan berlangsung di N9 Arena, Negeri Sembilan dari 25 hingga 29 Jun ini dengan ia menjanjikan aksi lebih sengit dan mendebarkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram