
KEJOHANAN sepak takraw berprestij Piala Raja Thai 2025 yang sedang berlangsung di Songkhla, Thailand kini berdepan kritikan hebat susulan kelemahan pengurusan jadual yang mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pengurus dan pasukan bertanding.
Menurut pengulas sepak takraw negara, Mohsen Amdan, reputasi penganjur Thailand tercalar teruk apabila perlawanan diteruskan hingga lewat malam dengan sesetengah aksi hanya tamat sekitar pukul 1 pagi waktu Malaysia, dan ada yang berlarutan sehingga hampir pukul 3 pagi.
“Biasa lah, kalau tengok FIFA World Cup pun sampai pagi.. tak kecoh pun! Tapi ini lain. Masalahnya ialah jadual yang terlalu padat, acara pula banyak, jumlah hari penganjuran pula terlalu pendek,” kongsinya pada laman Facebook.
BACA LAGI: Dion Cools tak panik, terima keputusan FAM tarik diri Piala CAFA
Lebih merisaukan, keadaan berkenaan berlaku dalam kejohanan yang sudah melangkaui lebih 30 edisi dan turut dijadikan medan ujian menjelang penganjuran Sukan SEA 2025 yang juga bakal berlangsung di Thailand.
Pada Rabu, Thailand dikejutkan dengan kekalahan 0-2 kepada Malaysia dalam acara kuadran apabila skuad tanah air berjaya melenyapkan sorakan padu penyokong tuan rumah dengan kemenangan straight set 15-13, 17-16.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih tegang apabila pemain Malaysia, Noraizat Nordin yang baru sahaja menamatkan perlawanan dalam kategori kuadran campuran, terpaksa segera bergegas untuk menyertai aksi kuadran lelaki di gelanggang bersebelahan.
"Noraizat yang baru saja selesai perlawanan mix quadrant, terpaksa bergegas masuk ke gelanggang sebelah untuk men quadrant.
"Di mata akhir 14-10. Pemain Malaysia, Affifudin cedera ketika hendak melakukan pukulan terakhir. Ini memalukan. Pengurus-pengurus negara masing-masing mendesak penganjur untuk menangguhkan perlawanan ke pagi ini.
"Bermakna, jadual hari ini juga akan dianjak lagi. Tiket kapal terbang balik telah ditempah. Bagaimana agaknya kesudahan Piala Raja Thai 2025,” katanya pada hantaran berkenaan.
Dengan penganjuran kini berada di bawah lensa pengkritik, persoalan besar timbul iaitu mampukah Thailand mengembalikan semula maruah dan kredibiliti mereka dalam pengurusan kejohanan antarabangsa?
Kesudahan Piala Raja Thai 2025 kini bukan sahaja ditentukan oleh kehebatan di gelanggang, tetapi juga keupayaan penganjur menyesuaikan diri dengan cabaran logistik dan pengurusan masa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram