
PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan meluahkan rasa kesal terhadap penganjuran Kejohanan Piala Raja Thai 2025 yang disifatkan tidak teratur dan memberi kesan buruk terhadap prestasi pemain negara.
Menurut beliau, jadual perlawanan yang terlalu padat hingga berlangsung lewat malam bukan sahaja menjejaskan keselesaan pemain, malah turut menyebabkan seorang pemain utama Malaysia mengalami kecederaan.
“Saya amat kesal dengan jadual kejohanan yang terlalu padat hingga ada perlawanan yang berlarutan hingga tengah malam.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah belajar bahasa Melayu bersama Tae-su, bekas bintang Sabah FC umum gantung but
BACA LAGI: [VIDEO] Affifudin Razali terpaksa lupakan Piala Raja Thai, Azlan Alias disebut jadi pengganti
"Malah, ada juga perlawanan yang terpaksa ditangguhkan dan menyebabkan jadual asal lari terlalu jauh,” katanya kepada Majoriti.
Tambah Sumali, situasi itu memaksa pemain skuad negara beraksi sehingga tiga perlawanan dalam sehari, sekali gus mengakibatkan keletihan melampau dalam kalangan pemain.
“Pemain kita terpaksa bermain tiga perlawanan sehari, sehingga tengah malam. Keletihan ini akhirnya menyebabkan salah seorang pemain utama mengalami kecederaan,” jelasnya lagi.
Sumali (tengah, belakang) turut hadir memberikan sokongan kepada skuad negara di Thailand. — Facebook/BOLAROTANTV
Mengulas mengenai konflik yang dilaporkan berlaku berhampiran lokasi kejohanan, Sumali menegaskan bahawa keadaan di Hatyai, Thailand masih terkawal dan selamat untuk para atlet dan pegawai kontinjen.
"Konfllik yang berlaku agak jauh dari tempat kejohanan dan kita sudah dimaklumkan di Hatyai masih terkawal dan masih selamat," jelasnya lagi.
Bagaimanapun, beliau tetap meluahkan kebimbangan terhadap tahap kecergasan dan kualiti permainan yang terjejas akibat pengurusan jadual yang lemah oleh penganjur.
“Apa yang membimbangkan kami ialah tahap prestasi pemain yang semakin menurun disebabkan terlalu keletihan. Ini memberi kesan besar kepada mutu permainan mereka,” tambahnya.
Begitupun, beliau tetap yakin bahawa skuad sepak takraw negara mampu meneruskan perjuangan mereka di bumi Gajah Perang itu.
"Kita sudah berada disini dan pemain masih boleh meneruskan walaupun jadual yang perlawanan terlalu padat," katanya.
Kejohanan Piala Raja Thai 2025 yang berlangsung di Central Hatyai, Songkhla, Thailand menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan terbaik rantau Asia antaranya Malaysia, Vietnam, Pakistan, Jepun, Bangladesh, Myanmar, Laos, Singapura dan Korea Selatan.
Namun, pengendalian pertandingan kali ini menjadi sorotan kerana kelemahan logistik dan penyusunan jadual yang tidak efisien. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram