BARU-BARU ini kecoh dalam kalangan penyokong Manchester United apabila difahamkan akan menggunakan semula penjaga gol berpengalaman mereka, David De Gea bagi mengisi kehilangan Andre Onana pada bulan depan.
Penjaga gol antarabangsa Cameroon itu perlu menyertai tugasan negaranya dalam Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), Januari tahun depan dan disebabkan itu muncul khabar angin mengaitkan semula De Gea.
Afcon akan berlangsung dari 13 Januari hingga 11 Februari, itu bermakna Onana, 27, pemain yang dibeli daripada Inter Milan pada harga 43.8 juta pound (RM253.20 juta) bakal terlepas sehingga lapan perlawanan.
Beberapa jam selepas laporan tersebut mula tersebar di media sosial dan menjadi perbincangan penyokong, penjaga gol Sepanyol itu memuat naik hantaran emoji 'wajah berfikir' di laman platform X peribadinya.
Tangkap layar ciapan De Gea.
Di bawah mesej itu, ramai peminatnya menggalakkan bekas pemain nombor satu Manchester United itu kembali ke Old Trafford walaupun De Gea sebelum ini mengakui bahawa dia sedang mencari cabaran baharu pada musim panas lalu.
Penjaga gol berusia 32 tahun yang membuat 545 penampilan sepanjang 12 tahun di Old Trafford itu kini masih berstatus ejen bebas pada Julai selepas pengurus pasukan, Erik ten Hag enggan menyambung kontraknya.
Pada awalnya, De Gea ditawarkan penyambungan kontrak dengan pemotongan gaji daripada 375,000 pound (RM2.16 juta) kepada 200,000 pound (RM1.15 juta) seminggu dan difahamkan di juga bersetuju dengan tawaran tersebut.
Selepas itu, dia juga pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi dan berhijrah ke juara Bundesliga, Bayern Munich susulan pasukan itu sebelum ini pernah mempertimbangkan perpindahan untuk penjaga gol. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram