[VIDEO] 'Saya ingat awak', 16 tahun sudah berlalu, legenda Man United masih dihantui jaringan padu Amri Yahyah


  • Podium
  • Isnin, 04 Ogos 2025

Amri Yahyah bersama legenda Man United, Edwin Van Der Sar.

"SAYA kenal awak". Itulah kata-kata penuh bermakna daripada legenda Manchester United, Edwin Van Der Sar kepada bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah ketika kedua-duanya bertemu semula dalam satu majlis di Aeon Mall Tebrau, Johor baru-baru ini.

Momen istimewa itu dikongsikan dalam satu video berdurasi 18 saat menerusi laman Facebook, Pencinta Bola Sepak Malaysia, yang memaparkan detik penuh nostalgia antara dua figura bola sepak yang pernah bertembung di atas padang pada 2009.

Amri yang ketika itu mewakili skuad kebangsaan di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, mencipta sejarah apabila berjaya merobek gawang Manchester United sebanyak dua kali dalam perlawanan persahabatan antara Malaysia dan Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Pernah berlatih bersama skuad utama, prospek JDT kini berkelana ke Portugal

BACA LAGI: Syukur khazanah Kedah masih bernyawa, fans tegar seru sokong 2 wakil Liga A1

Apa yang mengejutkan, ketika Amri menghulurkan tangan untuk bersalaman, Van der Sar menyapa dengan berkata bahawa beliau masih mengenali pemain tersebut, meskipun sudah lebih 16 tahun berlalu sejak pertemuan mereka di atas padang.

Aksi cemerlang Amri dalam perlawanan yang berkesudahan 3-2 memihak kepada Man United masih segar dalam ingatan penyokong bola sepak tempatan.

Antara momen paling diingati sudah tentu jaringan voli kaki kirinya yang berjaya menewaskan Van der Sar, satu detik ikonik yang kekal sebagai kenangan manis dalam sejarah bola sepak tanah air.

Pertemuan semula kedua-dua pemain itu bukan sahaja mengimbau kenangan indah peminat tempatan, malah memperlihatkan penghargaan seorang legenda bola sepak dunia terhadap detik gemilang seorang pemain tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram