LEGENDA penjaga gol Manchester United, David De Gea masih hangat di pasaran apabila difahamkan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle United difahamkan ingin menggunakan khidmat pemain berkenaan.
Hasrat berkenaan hadir selepas penjaga gol utama mereka, Nick Pope difahamkan mungkin tersisih sehingga akhir musim ini berikutan mengalami kecederaan di bahagian bahunya ketika menentang skuad The Red Devils pada Ahad lalu.
Aksi sengit di St. James' Park itu menyaksikan tuah memihak kepada tuan rumah apabila tonggak Newcastle, Anthony Gordon menjadi penjaring tunggal perlawanan dengan mencetak satu gol pada minit ke-55.
Berbalik kepada berita penghijrahan penjaga gol kelahiran Sepanyol itu, De Gea dilaporkan sanggup untuk mengurangkan gajinya jika menyertai Newcastle walaupun sebelum ini dia menerima £375,000 (RM2.06 juta) seminggu di Old Trafford.
Sekiranya penghijrahan berkenaan berhasil, ia sebenarnya membawa keuntungan kepada Newcastle kerana pengalaman De Gea sebelum ini pernah membantu United beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Desas-desus perpindahan De Gea ke Newcastle itu membuatkan ramai penyokong mula membuat spekulasi bahawa pemain berkenaan sudah lama merancang akan menyarung jersi baharu kerana kerajinannya menjalankan latihan solo.
Menerusi media sosial peribadinya pada Ogos lalu, De Gea boleh dilihat menjalankan latihan solo sambil dia berusaha untuk kekal berada pada prestasi tertinggi sekiranya mana-mana pihak datang melamarnya untuk permulaan musim baharu.
Terdahulu, De Gea juga dikaitkan dengan Real Madrid, yang kehilangan Thibaut Courtois akibat kecederaan ACL namun skuad Los Blancos sebaliknya mencari Kepa Arrizabalaga secara pinjaman daripada Chelsea. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram