Berdepan 5 ujian penting termasuk JDT, Buriram jadi penentu nasib Kino bersama Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 08 Ogos 2025

Kinoshi berdepan tekanan menjelang musim sulung penuhnya bersama Selangor.

MUSIM penuh pertama Katsuhito Kinoshi bersama Selangor FC bermula pada Jumaat apabila dia dan Gergasi Merah berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah.

Tugas tersebut nyata sukar kerana berdepan pasukan pilihan seperti JDT, ia dilihat misi mustahil untuk Selangor tampil sebagai pemenang.

Perlawanan bertemu JDT merupakan satu daripada lima aksi penting Selangor dengan kredibiliti Kinoshi akan teruji.

BACA LAGI: Sentuhan Badrul Afzan terus ditagih, kekal kemudi skuad Peteh musim depan

BACA LAGI: Badrul Afzan: Usah khuatir barisan depan TFC hilang sengat

Cabaran musim penuh pertama

Musim 2025/2026 merupakan penggal penuh pertama Kinoshi bersama Selangor selepas mengambil alih jawatan sebagai jurulatih pada pertengahan 2024/2025.

Selepas dilihat berjaya menstabilkan prestasi pasukan, Kinoshi berdepan ujian untuk menaikkan martabat Selangor dengan mereka berdepan pelbagai tugasan domestik dan antarabangsa.

Kinoshi perlu menang untuk pastikan kedudukannya di Selangor selamat.

Namun begitu, sudah mula ada pendapat yang Kinoshi bukannya orang sesuai untuk memimpin Selangor terutamanya selepas mereka tersingkir daripada Piala Malaysia musim lepas.

Penjurian terhadap Kinoshi adalah pada lima aksi pertama Selangor dalam liga, jika berjaya diharungi dengan baik pengendali dari Jepun itu berpeluang untuk terus kekal di posisinya.

Ujian berat di luar Malaysia

Lima perlawan pertama Selangor di Liga Super adalah bertemu JDT, DPMM FC, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kuching City FC.

Di tengah-tengahnya, Selangor turut berdepan cabaran sukar bertemu gergasi Thailand iaitu Buriram United dalam Piala Shopee.

Kesemua aksi awal tersebut perlu diraih dengan keputusan positif untuk penyokong berasa selamat di bawah kepimpinan Kinoshi.

Jika berjaya meraih keputusan positif terutamanya berdepan JDT dan Buriram, pastinya populariti Kinoshi akan meningkat.

Sebaliknya, jika hasil tidak menyebelahi Selangor, pastinya dia perlu bersedia untuk menerima kritikan penyokong.

Keraguan terhadap Willian Lira

Salah satu daripada masalah awal Kinoshi pada musim baharu adalah mengenai prestasi penyerang baharu, Willian Lira.

Hal ini kerana, Lira dilihat tidak begitu menyakinkan pada pra-musim dan ramai penyokong meragui kemampuannya memimpin barisan serangan Selangor.

Lira diragui kemampuannya oleh para penyokong.

Pemain-pemain baharu yang lain seperti Zach Clough, Chigor Moraes dan Kevin Deeromram mungkin boleh menyelamatkan Kinoshi di saat Lira dijangka malap.

Lima perlawanan yang amat penting buat Kinoshi, dia mungkin memerlukan tuah memihak kepadanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram