Badrul Afzan: Usah khuatir barisan depan TFC hilang sengat


Oleh M. Azim
  • Podium
  • Isnin, 30 Jun 2025

Persiapan pra-musim TFC pula merangkumi perlawanan persahabatan dengan Kelantan Red Warrior (KRW) kendalian Irfan Bakti Abu Salim di Kota Bharu pada 4 Julai.

BUNYINYA seperti Badrul Afzan Razali sudah membuang keseluruhan barisan serangan pasukannya tetapi ketua jurulatih Terengganu FC itu percaya suntikan nafas baru daripada pemain-pemain yang bakal ditampilkannya akan lebih menyengat.

Diberikan kuasa penuh menentukan barisan pemain bagi musim 2025/2026 bermula pertengahan Ogos nanti, jurulatih berusia 48 tahun itu lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti selepas mengakui barisan serangan musim lalu agak mengecewakannya.

Keadaan terkini membayangkan seolah-olah barisan serangan Terengganu FC hampir lumpuh dengan rombakan besar-besaran yang dilakukan selepas berakhirnya liga musim 2024/2025.

BACA LAGI : Kuching City terus berimpian besar dengan belanja berhemah

BACA LAGI : Dua tawaran awal tidak menjadi, Fandi masih sabar menanti

Kecuali Akhyar Rashid yang kekal, Safawi Rasid pula kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas tempoh pinjamannya berakhir manakala Ivan Mamut berehat setahun kerana kecederaan di samping Ismaheel Akinade, Chukwu Chijioke dan Nelson Bonilla tidak dilanjutkan kontrak.

Daripada senarai pemain import musim lalu, cuma pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov, satu-satunya yang dikekalkan manakala Manuel Ott dan Argzim Redzovic turut dilepaskan pergi.

"Daripada asalnya ada sembilan pemain import, kemudian tinggal empat. Penghujungnya daripada empat import itu, hanya dua yang benar-benar membantu kerana selebihnya tidak konsisten dan ada yang menimbulkan masalah sikap dalam latihan.

"Sekali imbas nampak macam saya buang barisan penyerang tapi saya nakkan barisan baru yang dapat memberi pulangan lebih baik kepada pasukan," katanya kepada Bola Pegun.

Badrul Afzan lebih mengutamakan kualiti daripada kuantiti selepas mengakui barisan serangan musim lalu agak mengecewakannya. — Facebook/TerengganuFC

Bek tengah, Matthew Steenvoorden dan pemain tengah, Marin Pilj, adalah antara yang meninggalkan pasukan pada pertahanan musim.

Mengambil pelajaran daripada itu, jurulatih berkenaan yang mengambil alih daripada Tomislav Steinbruckner pertengahan musim lalu, mengambil sikap lebih berhati-hati dalam memutuskan senarai import baharu bagi musim 2025/2026 yang dijangka diumumkan pada Selasa.

Dilaporkan sebelum ini bahawa TFC berura-ura menandatangani seorang bek tengah dari Brazil serta penyerang dari Cameroon dan Perancis.

Turut dikaitkan dengan perpindahan ke Kuala Terengganu ialah bekas pemain tengah Perak FC, Careca, yang kini bersama kelab divisyen tiga Liga Korea Selatan, Gangneung FC.

Enggan mengesah atau menafikannya, Badrul Afzan menyerahkannya kepada pengumuman rasmi kelab kerana pemain berkenaan perlu melengkapkan proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan lebih dahulu.

Terengganu sebelum ini turut dikaitkan dengan kemasukan Saiful Jamaluddin, Baqiuddin Shamsuddin dan Syafiq Ahmad, namun jurulatih itu mengesahkan perpindahan Syafiq yang sebelumnya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC atas dasar pinjaman daripada JDT tidak menjadi kenyataan.

Nurillo Tukhtasinov, satu-satunya yang dikekalkan pemain import skuad Sang Penyu. — Facebook/TerengganuFC

Dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membenarkan pendaftaran sehingga 15 pemain import bagi sesebuah pasukan sembilan boleh didaftarkan dan tujuh (empat terbuka, seorang Asia dan dua ASEAN) dapat diturunkan untuk sesuatu perlawanan TFC hanya memilih untuk mengambil lima pemain import bagi disesuaikan dengan bajet pasukan.

"Kita cuma ambil empat import antarabangsa dan seorang kategori Asia, tiada kuota import negara ASEAN kali ini.

"Mungkin musim baru ini akan memberi kelebihan kepada pasukan yang diperkuatkan lebih ramai pemain import (empat terbuka, seorang Asia dan dua ASEAN boleh diturunkan pada satu-satu masa) tetapi kami akan berusaha menseimbangkan cabaran.

"Apa yang lebih penting bukan dari segi jumlah pemain import yang diturunkan tapi usaha optimum setiap pemain dan kerjasama sebagai sebuah pasukan dan bukannya kelebihan secara individu,” katanya.

Ditanya apa yang berbeza kali ini, Badrul Afzan mengakui kesempatan merancang persiapan pasukan dari peringkat pra-musim berbanding mengambil alih pada pertengahan musim memuncakkan semangatnya untuk melakukan yang terbaik buat pasukan.

"Dengan cara ni, kita buat sendiri dari mula. Sebagai jurulatih yang akan bertanggungjawab penuh, saya lebih suka seperti ini dengan pemilihan (keluar masuk) pemain dibuat sendiri dari mula berdasarkan bajet yang diluluskan.

"Tak betul kalau ada orang kata saya buang barisan depan (daripada musim lalu). Saya nak pemain yang boleh memberi pulangan lebih baik kepada pasukan dan harap-harap gandingan baru yang ada nanti dapat memenuhi harapan itu," tambahnya.

Pemain sayap Sri Pahang FC, Baqiuddin Shamsudin sah berhijrah ke Terengganu FC. — Facebook/TerengganuFC

Badrul Afzan turut berkongsi antara pengajaran yang ditimbanya dari musim lalu termasuk pentingnya memiliki kedalaman skuad agar sistem penggiliran yang baik dapat diterapkan bagi mengurangkan risiko kecederaan dan penggantungan kad kuning.

Persiapan pra-musim TFC pula merangkumi perlawanan persahabatan dengan Kelantan Red Warrior (KRW) kendalian Irfan Bakti Abu Salim di Kota Bharu pada 4 Julai.

TFC juga bercadang untuk mengadakan kunjungan ke Kuala Lumpur selain sama ada ke Thailand atau Indonesia dalam rangka persiapan terakhir.

"Seboleh-bolehnya kita berharap untuk memperbaiki kedudukan di tangga kelima musim lalu," kata Badrul Afzan lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram