
DUA kelab gergasi bola sepak tempatan, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Perak FC terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Super selepas gagal mendapat lesen kebangsaan untuk beraksi pada musim depan.
Perkembangan berkenaan diumumkan Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Shariff dalam satu kenyataan pada Khamis yang memberitahu bahawa permohonan dua kelab itu ditolak berikutan tidak memenuhi kriteria kewangan ditetapkan.
Mengulas lanjut mengenai nasib skuad Sang Kenari dan Perak FC, Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Datuk Mohd Hisamudin Yahaya menjelaskan bahawa mereka tidak akan mendapat talian hayat kedua meskipun mendapat 'durian runtuh' di saat akhir.
BACA LAGI: Tinggal kenangan, Perak FC sah tak mohon lesen kebangsaan
BACA LAGI: Tempoh mohon Lesen Kebangsaan dilanjutkan, ‘kelembutan’ MFL undang pro-kontra
"Pada pandangan saya mereka (Kedah dan Perak) dah gagal syarat lesen. Kita ada pasukan ganti iaitu Imigresen FC dan Melaka FC. Satu proses biasa, kalau gagal kena tengok balik.
“Tiada talian hayat sebab dan tamat tempoh. Tiada istilah second chance sebab dah putuskan. Kalau nak bermain Liga A1 akan diputuskan kemudian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kenderaan Rasmi FAM dan Pelancaran Carsome Autofair 2025 pada Khamis.
Pada Khamis, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan mereka mengeluarkan 13 lesen kebangsaan kepada 11 kelab Liga Super dan dua pasukan Liga A1 bagi saingan musim depan.
Dalam kenyataan mereka, pengumuman MFL itu disusuli dengan kejutan apabila Sri Pahang FC merupakan salah satu daripada 11 kelab menerima lesen walaupun pada mulanya dikatakan akan menarik diri.
Bagi dua kelab Liga A1 pula, MFL memberikan lesen tersebut kepada Melaka FC dan Imigresen FC sekali gus menguatkan spekulasi mereka bakal mengisi slot Liga Super sebagai wakil dari dua liga bawahan itu.
Namun begitu, tiada sebarang perkembangan mengenai status pasukan jemputan, Brunei DPMM yang dikatakan akan menyertai Liga Super dan sedang rancak mendapatkan pemain baharu.
Dalam pada itu, badan induk bola sepak negara itu menerima sebuah tajaan bernilai lebih RM2 juta daripada pihak Carsome.
Syarikat berkenaan merupakan Rakan Automotif Rasmi FAM telah menyerahkan 15 buah kenderaan yang dihiasi dengan logo Carsome dan FAM bagi menyokong keperluan operasi dan logistik badan induk itu.
15 kenderaan pelbagai jenis yang diserahkan itu terdiri daripada Proton X90, Proton X70, Mazda CX-5, Nissan Serena, BMW 3 Series, Volvo XC40, Mercedes-Benz GLC, dan Toyota Alphard.
Kenderaan ini akan digunakan oleh pasukan kebangsaan lelaki dan wanita, serta pengurusan FAM bagi memastikan perjalanan yang selamat dan selesa sepanjang jadual bola sepak berlangsung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram