Majlis ini tak minta dana tapi saya beri RM1 juta untuk KLFA — PM


  • Podium
  • Isnin, 14 Jul 2025

Anwar pada Sabtu mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM1 juta kepada KLFA. — Facebook/KLFA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) meskipun majlis yang dihadirinya tidak membuat sebarang permintaan berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai sokongan kepada pembangunan sukan bola sepak tempatan.

BACA LAGI: Ketua Polis Negara: Nanti saya tanya Agong — PM Anwar

BACA LAGI: Keakraban PM Anwar bersama delegasi antarabangsa

"Ini satu-satunya majlis yang saya hadiri di mana tiada siapa minta peruntukan daripada saya.

"Jadi, saya ucapkan terima kasih, dan saya umumkan sumbangan RM1 juta kepada KLFA,” kata Anwar dalam ucapannya ketika Majlis Jubli Emas 50 tahun KLFA di Connexion Conference & Event Centre di ibu kota pada Sabtu. 

Majlis yang turut dihadiri Menteri Komunikasi merangkap penaung KLFA, Datuk Fahmi Fadzil dan Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar berkenaan juga menyaksikan pelancaran jersi dan logo baharu pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC bagi musim 2025-2026.

Beliau berkata, persatuan seperti KLFA turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan semangat kesukanan dan nilai perpaduan terus dipelihara dalam kalangan penyokong dan pemain.

Dalam majlis itu, KLFA turut mengumumkan beberapa inisiatif strategik termasuk kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dalam pembangunan bola sepak di peringkat sekolah serta Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih jurulatih dan memperkasakan program pembangunan belia.

Sementara itu, Syed Yazid memberitahu bahawa Peruntukan RM1 juta yang diumumkan Anwar kepada KLFA bakal dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkasakan persatuan itu.

Syed Yazid berkata, sebarang keputusan berkaitan penggunaan dana itu akan dibawa dan diputuskan dalam mesyuarat bersama barisan Exco persatuan.

"Ya, saya tak jangka atas sumbangan tadi. Tapi kita bersyukur, Alhamdulillah, macam saya cakap kali ni KLFA kita ada Exco, apa-apa pun akan dibawa ke dalam mesyuarat," ujarnya sambil menambah pihaknya akan menjaga KLFA dengan lebih baik.

Syed Yazid juga berkongsi bahawa setakat ini, skuad Warga Kota sudah menerima dana dan penaja dengan beliau memberi penghargaan kepada semua pihak yang sudi KL City. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram