
TUNKU Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi membuat sindiran terbuka terhadap arena bola sepak tempatan selepas majoriti penyokong mendesak supaya Liga Super dibubarkan disebabkan isu luar padang yang tidak berpenghujung.
Dalam satu ciapan menerusi laman X pada Isnin, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mendesak supaya keputusan tersebut diambil supaya mereka di luar sana memahami pemikiran berhubung bola sepak dalam negara.
"Masih ada masa lagi untuk bubar liga. Boikot beramai ramai, tunjuk kepada dunia mentaliti bola sepak Malaysia," tulisnya sambil menyertakan infografik mengenai senarai juara Liga Super sejak edisi pengenalannya pada 2004.
BACA LAGI: Harimau Malaya masih bawah FAM, Tunku Ismail bantu kami terus maju — Presiden FAM
BACA LAGI: Tersingkir ACLE, Tunku Ismail sudah kenal pasti kelemahan, hanya tunggu masa berbelanja besar
Pandangan Tunku Ismail yang turut dilontarkan di laman Instastory peribadinya.
Berdasarkan senarai dikongsikan, JDT sudah mendominasi arena Liga Super sejak 2014 dengan mereka kemudiannya menjuarai pertandingan tersebut buat 11 tahun berturut-turut dengan tidak mustahil cengkaman tersebut dapat diteruskan.
Ini kerana melihat kepada beberapa musim kebelakangan ini, skuad Harimau Selatan tidak mengalami sebarang tentangan hebat, termasuk daripada Selangor FC musim lalu yang berada di tangga kedua.
Malah, lebih mencuit hati lagi, infografik itu juga menunjukkan gambaran juara edisi akan datang juga kekal milik JDT meskipun logo kelab siapa yang bergelar juara Liga Super seolah-olah ditutup dengan kain.
Perkongsian tersebut membuktikan Tunku Ismail yakin bahawa kejuaraan tersebut akan kekal di Selatan tanah air dengan usaha pasukan lain memberi cabaran semakin sukar ketika ini.
Skuad Sang Kenari dilaporkan tidak akan beraksi musim depan berikutan isu kewangan yang meruncing. — Facebook/KDA FC
Dominasi sama turut disaksikan dalam kesemua kejohanan domestik lain, termasuk Piala Malaysia dan Piala FA yang sudah menjadi milik JDT sejak tiga musim lalu selepas mereka menjuarainya secara berturut-turut.
Berdasarkan landskap bola sepak tempatan hari ini, terdapat pelbagai persoalan mengenai masa depan sukan tersebut, lebih-lebih lagi selepas beberapa kelab dilaporkan tidak akan lagi bersaing musim depan.
Ini termasuk tiga kelab gergasi iaitu Perak FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC yang bergelut dengan masalah pengurusan sepanjang tahun lalu berikutan kesukaran mendapatkan penaja.
Sekiranya masalah itu berterusan, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) terpaksa mengambil langkah drastik bagi memastikan kelangsungan Liga Super dan tidak membiarkannya 'terkubur' seperti mana difikirkan sesetengah pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram