Sasar top 3 Liga Super, Presiden KLFA tunggu bekas penyerang Sabah-tonggak JDT lengkapkan skuad


  • Podium
  • Isnin, 14 Jul 2025

Bekas penyerang Sabah itu berada dalam senarai sasaran skuad Warga Kota. — Facebook/SabahFC

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar mengesahkan bahawa sasaran utama pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC untuk musim Liga Super akan datang adalah menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas.

Menurut Syed Yazid, keyakinan berkenaan hadir berdasarkan barisan pemain yang sudah dikenal pasti, termasuk beberapa pemain berpengalaman dan nama baharu yang bakal menyertai pasukan.

KLFA turut dalam usaha melengkapkan skuad dengan kehadiran bekas penyerang Sabah, John Pedro dan seorang lagi pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Endrick dos Santos.

BACA LAGI: 'Majlis ini tak minta dana tapi saya beri RM1 juta untuk KLFA' — PM

BACA LAGI: Ketua Polis Negara: Nanti saya tanya Agong — PM Anwar

“Sasaran untuk pasukan, dengan pemain yang ada semestinya saya menyasarkan top 3.  Kita nak pergi top 3, sebenarnya kalau dapat top 2.  Itulah (Liga Juara-Juara Asia 2) juga sasarannya.

“Setakat ini kalau yang ada pun (pemain baharu) mungkin pemain daripada JDT juga iaitu Endrick. Ia masih dalam perbincangan ini. Joao Pedro pula masih dalam proses negotiation,” katanya.

Syed Yazid ditemui pada Majlis Jubli Emas 50 tahun KLFA di Connexion Conference & Event Centre di Kuala Lumpur pada Sabtu. Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi merangkap penaung KLFA, Datuk Fahmi Fadzil.

KL City kini mendapat suntikan kekuatan baharu menerusi kehadiran beberapa pemain pinjaman berprofil tinggi dari Harimau Selatan iaitu Manuel Hidalgo, Syamer Kutty Abba dan Safawi Rasid.

Menariknya, Syed Yazid menegaskan bahawa tiada lagi sebarang ‘gentleman agreement’ yang menghalang pemain-pemain ini daripada diturunkan menentang JDT sekiranya kedua-dua pasukan bertemu musim ini.

Dalam perkembangan lain, KL City juga bakal tampil dengan identiti baharu bagi musim ini menerusi rekaan jersi terkini dan penggunaan logo yang lebih moden. Kelainan turut diperkenalkan apabila dua logo berbeza akan digunakan bagi jersi ‘home’ dan ‘away’.

"Rekaan baharu ini tentunya ke arah yang lebih moden. Kami mahu logo, terutamanya yang berwarna merah putih, tampil lebih menyerlah berbanding logo sebelum ini.

"Kenapa ada dua logo? Ini usaha kami untuk tampilkan kelainan. Sebagai contoh, untuk perlawanan di laman sendiri, kita akan gunakan logo khas yang anda lihat tadi. Maknanya, kami mahu bawa sedikit kelainan dan pada masa sama, tekankan bahawa KL City berasal daripada KLFA," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram