[VIDEO] Baru dapat pujian TMJ, penyokong Persib Bandung tunjuk sisi gelap potong jaring gol, 'ragut' rumput gelanggang sendiri


  • Podium
  • Selasa, 27 Mei 2025

Keadaan padang di Stadium Gelora Bandung Lautan Api selepas dirosakkan individu dan penyokong tidak bertanggungjawab.

KERAIAN dalam dunia bola sepak kadang kala boleh menjadi keterlaluan apabila penyokong yang ghairah bertindak merosakkan kemudahan dan infrastruktur pasukan tanpa memikirkan impak jangka masa panjang.

Tindakan seperti mencabutkan tempat duduk, memecahkan barangan kaca dan plastik selain membuang sampah-sarap merupakan antara kelakuan yang pernah disaksikan ketika sambutan sesebuah kejuaraan menjadi tidak terkawal.

Bagaimanapun, baru-baru ini, penyokong sebuah kelab gergasi di Indonesia berkelakuan lebih teruk apabila sebuah klip tular memaparkan mereka merosakkan padang dengan memotong rumput untuk dibawa pulang.

BACA LAGI: Andai sah kolaborasi JDT-Persib, 3 pemain bakal bertukar status termasuk pemenang Kasut Emas

BACA LAGI: TMJ ucap tahniah kemenangan Persib, juara Liga 1 beri hint bakal kolaborasi bersama JDT

Dalam klip pendek dimuat naik di laman Facebook Hamri Bin Majinun, kelihatan beberapa peminat sedang sibuk memotong rumput di atas padang dipercayai untuk disimpan sebagai tanda kenang-kenangan.

Malah ada juga video yang memaparkan tindakan penyokong mengoyakkan jaring pintu gol untuk tujuan sama.

Meskipun pada awalnya tidak dipastikan pasukan manakah yang disokong, pengamatan lebih mendalam mendapati kejadian berlaku di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Indonesia.

Ini kerana papan iklan di tepi padang memaparkan logo kelab berkenaan dengan keghairahan penyokong untuk memasuki ke padang berpunca daripada kejayaan kelab tersebut mempertahankan kejuaraan Liga 1 Indonesia.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi yang mengatakan tidak salah untuk meraikan sesuatu kejayaan asalkan tidak menyalahi undang-undang.

“Merayakan kemenangan adalah ekspresi yang dinantikan.

"Saya tidak memiliki toleransi terhadap tindakan-tindakan yang mengarah pada kriminal (jenayah),” ujarnya di Instagram @dedimulyadi71.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan sama ada akan bertindak lanjut berhubung insiden itu dan jumlah kerugian tidak dinyatakan.

Video tersebut memaparkan sisi memalukan buat skuad Pangeran Biru yang mula dihormati selepas menjuarai gelaran liga buat dua tahun berturut-turut sejak membawa masuk Bojan Hodak.

Persib Bandung merupakan antara kelab terbaik di Indonesia selepas mempertahankan gelaran liga.

Malah, kejadian sedemikian sudah tentu menconteng arang kepada Persib Bandung yang reputasinya semakin dikenali di pentas Asia selepas pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah buat kelab terbabit.

Tidak terhenti di situ, sebuah perancangan untuk mewujudkan kerjasama antara kedua-dua kelab juga pernah dikongsikan, namun ia sudah tentu terkesan akibat sikap sesetengah penyokong.

Berdasarkan laporan media Indonesia, pihak pengurusan juara Liga 1 itu berasa kecewa akan kerosakan daripada insiden tersebut dengan beberapa kemudahan lain seperti tiang dan gawang gol juga kerosakan.

Lebih memilukan lagi, sebahagian penyokong yang terlibat dalam pencerobohan ke dalam padang itu tidak memegang tiket bagi perlawanan terakhir liga menentang Persis Solo pada Sabtu lalu.

Pelaburan besar terpaksa dilakukan pihak pengurusan untuk memperbaiki keadaan gelanggan mereka berkenaan, lebih-lebih lagi selepas skuad Pangeran Biru bakal bersaing dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram